AirAsia X Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran antarabangsa apabila mengumumkan dua laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke London Gatwick bermula 26 Jun depan.
Langkah itu sekali gus menjadikan Bahrain sebagai hab global pertama AirAsia X, memperluaskan peranan destinasi berkenaan sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AirAsia X, Tony Fernandes, berkata Bahrain mempunyai kedudukan strategik yang mampu memperkukuh hubungan penerbangan antara Asia, Timur Tengah dan Eropah secara lebih efektif.
“Kerjasama itu turut memperkasa ekosistem penerbangan secara menyeluruh selain membuka peluang kepada perniagaan Capital A seperti kargo dan perkhidmatan kejuruteraan.”
“Selain itu, kerjasama dengan lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan rakan industri juga akan terus diperkukuh bagi membuka koridor permintaan baharu,” katanya.
Difahamkan, laluan baharu ini akan menggunakan pesawat Airbus A330-300, sekali gus memperluaskan akses kepada pelancong dari Australia, Indonesia, Vietnam serta pasaran utama lain ke Bahrain dan London.
Bagi memeriahkan pelancaran laluan tersebut, AirAsia X menawarkan tambang promosi masa terhad bermula daripada RM99 dan RM199 termasuk semua sehala dari Kuala Lumpur ke Bahrain dan London.
Untuk perjalanan kedua-dua sektor pula, tambang ditawarkan bermula RM299 dan RM399. Penumpang yang memilih Premium Flatbed pula boleh menikmati tambang bermula RM2,999 termasuk semua sehala bagi kedua-dua sektor.
Tempahan penerbangan dibuka bermula hari ini hingga 22 Februari 2026, bagi tempoh perjalanan antara 26 Jun hingga 30 November 2026 menerusi laman sesawang rasmi dan aplikasi AirAsia MOVE.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
