Sebut sahaja Nasi Lemak Pak Nasser, pasti fikiran terbayang keenakan makananan kebangsaan Malaysia itu ketika menaiki penerbangan AirAsia.
Selain nasi lemak, pelbagai lagi juadah lazat yang disediakan dalam penerbangan AirAsia. Namun, kebanyakan orang hanya boleh menikmatinya ketika berada ‘di atas awan’ sahaja.
Justeru, ada berita baik buat penggemar makanan dalam penerbangan tambang murah tersebut kerana Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, merancang untuk membuka restoran makanan segera yang menawarkan menu makanan dalam penerbangan AirAsia.
“Saya fikir makanan kita hebat. Kami begitu yakin akan memulakan restoran makanan segera kami di luar sana,” kata Tony.
Tony berkongsi berita gembira itu ketika menjawab soalan penonton dalam rancangan bual bicara popular, Larry King Now.
Menurut Tony lagi, restoran yang bakal dibuka itu akan diberi nama ‘Santan’, yang juga nama menu dalam penerbangan AirAsia. Malah, restoran tersebut menjanjikan pengalaman makan dalam suasana seperti di dalam kabin pesawat.
Selain itu, jelas Tony AirAsia sedang menggunakan ‘revolusi teknologi’ untuk menjadikan penerbangan lebih selesa. Beliau secara ringkas menyebut bahawa mereka sedang membangunkan teknologi pengenalan wajah dan teknik keselamatan yang lebih baik.
Tony juga menyebut bahawa AirAsia sedang bekerjasama dengan kerajaan bagi membolehkan pendaftaran penumpang mereka diluluskan sebelum hadir dan mereka tidak perlu beratur lama.
Jadi, tidak lama lagi anda tidak perlu menaiki pesawat hanya untuk menikmati hidangan Nasi Lemak Pak Nasser yang lazat!