Penyanyi Aina Abdul tidak menolak hatinya penuh dengan rasa kesyukuran apabila menatap segulung ijazah yang digenggam di tangan dan kini bergelar graduan Sarjana Muda Muzik Kontemporari Universiti UCSI.
Menghadiri sesi graduasi yang berlangsung pada Sabtu lepas, Aina mengakui yang bukan mudah untuk dirinya mengimbangi dua tugas dalam satu masa yang sama selama bergelar seorang pelajar.
Saya dah habis belajar tahun lalu, tetapi majlis konvokesyen ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Alhamdulillah, akhirnya majlis graduasi selamat berjalan dengan lancar.
Tambah Aina, dia tetap berusaha dan mencuba bersungguh-sungguh mahu menamatkan pengajian walaupun sedar ianya bukan mudah kerana ada ketika dia berasa letih.
Aina turut memberitahu yang dia pernah menangguhkan pengajian pada penghujung 2014 kerana menyertai program Mentor Legend dan dia mula mencari tapak dalam bidang seni serta menyambung pengajian pada masa yang sama selepas itu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Semalam itu juga sempat memaklumkan yang dia sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi bahawa seseorang artis itu harus mempunyai ilmu.
Saya sedar yang menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan diri dengan ilmu.
Ujar Aina lagi, dia banyak aplikasikan apa yang dia pelajari dalam kerjaya hariannya kerana dia belajar dalam aliran muzik dan aliran itu adalah kerjaya yang kini dia sedang lakukan.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga, pensyarah, pihak universiti dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorangan positif sehingga dia berjaya ke tahap itu.
Dalam pada itu, Aina juga memberitahu yang kelab peminatnya iaitu Ainations juga menjadi penguat semangat untuknya melangkah lebih maju dan dia akan terus teringat orang yang menyokongnya setiap kali rasa lemah semangat.