Koresponden bagi media Australia The Sydney Morning Herald dan The Age di China, Philip Wen melaporkan melalui akaun Twitter beliau yang sekumpulan ahli keluarga penumpang warga China MH370 telah menaiki 3-4 buah bas untuk menganjurkan protes di depan kedutaan Malaysia di Beijing.
Di luar kedutaan Malaysia, sepasukan polis anti rusuhan telah menanti.
Mereka dinasihatkan untuk menunggu wakil kedutaan Malaysia datang berjumpa mereka untuk memberi penerangan. Bas-bas juga tidak dibenarkan untuk bergerak, namun keluarga penumpang memberitahu mereka akan berjalan kaki ke kedutaan Malaysia.
Kira-kira 200 orang ahli keluarga penumpang mara ke kedutaan Malaysia sambil melaungkan slogan.
“Adakah kamu akan keluar?” “Adakah kamu mempunyai perasaan malu?” “Pembunuh.”
Seorang wanita menengking para pengawal paramilitari China di depan kedutaan:-
Orang China tidak akan mengasari orang China yang lain. Benarkan kami masuk!
Seseorang yang berada di tingkat dua kedutaan dilihat merakamkan protes itu dalam bentuk video, dan kemudiannya dicerca oleh pemprotes:-
Kalau berani keluar ke sini untuk rakam kami. Binatang.
Pemprotes turut memaki hamun kerajaan Malaysia, membaling botol air ke kedutaan dan salah seorang ahli keluarga bertindak merempuh masuk namun dihalang pengawal.
Salah seorang anggota polis yang tidak memakai pakaian seragam meminta agar ahli keluarga penumpang tidak dikasari.
Laporan dari Philip berakhir setengah jam yang lepas kerana dia telah ditolak ke tepi jalan bersama wartawan yang lain oleh anggota keselamatan.
2:00 PM (Waktu tempatan) – Kesemua ahli keluarga penumpang menaiki bas untuk kembali ke Hotel Lido, Beijing.