Agen ‘Nikah Sempadan’ Setuju Padah Kahwin Rahsia, Ada Lagi Ke Yang Nak Cuba?

Trending

Agen ‘Nikah Sempadan’ Setuju Padah Kahwin Rahsia, Ada Lagi Ke Yang Nak Cuba?

Agen yang menawarkan perkhidmatan pernikahan rakyat Malaysia di sempadan Thailand mengakui perkahwinan tidak berdaftar akan menimbulkan pelbagai masalah kepada pasangan terbabit kelak.

Advertisement

Shamsul Abdullah yang memiliki pengalaman lapan tahun sebagai agen pernikahan di Thailand berkata, antara masalah itu termasuk kebajikan isteri terabai dan anak-anak pasangan itu tidak boleh mendapat sijil kelahiran.

“Misalnya dia tidak boleh menuntut harta jika suami meninggal dan permohonan penceraian perlu dibuat di sana,” katanya yang sudah ‘bersara’ daripada menawarkan perkhidmatan itu lebih setahun lalu.

Bagaimanapun tegasnya, sebahagian besar pasangan bernikah di negara jiran untuk menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan keluarga, memandangkan kebanyakannya adalah pelajar atau pun yang sudah beristeri.

Ini kerana perundangan syariah di Malaysia memperuntukkan lelaki hanya dibenarkan berpoligami selepas mendapat kebenaran isteri manakala di sesetengah negeri seperti Selangor dan Kuala Lumpur, mereka juga perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Shamsul berkata, langkah kerajaan mewujudkan mekanisme bagi membolehkan rakyat Malaysia berkahwin di Thailand secara sah adalah tepat.

Tegasnya, selain memperkemaskan proses perkahwinan, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu turun padang memberi penerangan supaya masyarakat mengubah persepsi perkahwinan di Thailand adalah “hal yang salah”.

Seorang lagi agen yang hanya mahu dikenali sebagai Redzuan turut bersetuju dengan langkah mewujudkan mekanisme untuk mengiktiraf perkahwinan rakyat Malaysia di Thailand.

“Ada yang tidak tahu cara betul, lalu pergi sendiri ke Betong dan Golok, selain tidak bernikah di pejabat agama.

“Ada juga ejen yang hanya mahu mengaut keuntungan dan tidak menekankan soal penting seperti mendapatkan surat pengesahan di konsulat,” katanya yang menawarkan perkhidmatan perkahwinan kepada pasangan di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla sehinggalah pendaftaran di Mahkamah Syariah.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Malaysia dan pihak berkuasa selatan Thailand akan merumuskan mekanisme terbaik untuk menangani perkara itu.

Isnin lalu, kerajaan Perlis dilaporkan juga dalam usaha mempermudahkan proses pendaftaran pernikahan bagi pasangan yang berkahwin di negara jiran.

Menurut laporan Bernama, sebanyak 4,081 pasangan warga Malaysia berkahwin di Thailand pada 2015 manakala lebih 2,000 pasangan direkodkan bernikad di negara jiran setakat Jun tahun ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kerajaan sepatutnya berusaha membendung perkahwinan di sempadan negara.

“Kami setuju jika ia untuk jangka pendek. Usaha membanterasnya perlu dijalankan, termasuk menaikkan denda daripada RM1,000 kepada sekurang-kurangnya RM5,000.

“Kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap pihak menawarkan pakej perkahwinan ini yang dengan mudah mengiklankan perniagaan mereka, termasuk dalam akhbar. Mereka mengaut keuntungan dengan melanggar undang-undang,” katanya, lapor FMT.

Bagaimanapun Redzuan menegaskan, mereka hanya membantu “menunjukkan jalan yang betul” kepada pasangan yang ingin berkahwin.

“Sebelum 2010 ketika tidak ramai agen, ramai pasangan yang tidak melalui proses betul sehingga perkahwinan mereka tidak sah dan menimbulkan masalah kemudiannya. Kami hanya menunjukkan jalan yang betul,” katanya.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...