Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Memetik laporan Kosmo! Online, AGC menegaskan bahawa proses rayuan adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang memberi ruang untuk semakan keputusan mahkamah yang lebih rendah.
Selepas meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, jabatan ini (AGC) telah menfailkan Notis Rayuan pada hari ini terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut.
la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.
Pemfailan rayuan dilakukan untuk memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus.
Semalam, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, yang membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.