Drama bersiri Suamiku Lelaki Pendosa baru sahaja bermula tayangan pada 9 Februari lepas di slot Samarinda, TV3 menggantikan Kau Cipta Kasih.
Ia mengisahkan tentang Dean Ilyas yang dilakonkan oleh Datuk Aaron Aziz yang nampak sempurna namun sebenarnya cenderung kepada homoseksual atau hubungan sejenis.
Dean cuba berubah dengan bantuan dan sokongan daripada isterinya, Cahaya Malaika (Sophia Albarakbah) namun pelbagai dugaan datang selepas perkahwinan mereka.
Cahaya dipergunakan oleh ibu Dean, Datin Junaidah (Maria Farida) untuk menyelamatkan maruah keluarga dan egonya namun sejarah hitam Dean yang disimpan rapi akhirnya terbongkar.
Maria Farida Tak Sesuai Bawa Watak Ibu Aaron Aziz
Baru bersiaran dengan dua episod, netizen mula memberikan komen dan respon mereka terhadap drama bersiri itu.
Bukan jalan cerita yang menjadi perhatian, namun ada yang meluahkan pendapat bahawa Maria Farida tidak sesuai menjadi ibu kepada pelakon utama, Aaron Aziz.
Menerusi satu forum, seorang individu akui terkejut kerana pada awalnya dia menyangka dua pelakon itu membawa watak suami isteri.
Menurut mereka, pihak produksi seharusnya memilih pelakon yang lebih berusia untuk membawakan watak ibu kepada Dean Ilyas.
Terkejut beruk bila Aaron Aziz panggil Maria Farida mama.. Ingatkan laki bini. Agaklah wei casting.”
Aaron Lebih Elok Bawa Watak Bapa
Melalui ruangan komen, beberapa individu dilihat bersetuju dengan pendapatnya dan berkata Aaron Aziz sudah tidak lagi sesuai membawa watak hero.
Menurut seorang individu, Aaron kini lebih sesuai membawa watak sebagai bapa kerana ia lebih sesuai dengan umurnya.
Sekadar info, Aaron Aziz berusia 45 tahun dan Maria Farida pula kini sudah menginjak usia 52 tahun. Lebih sesuai jika mereka membawa watak adik beradik atau pasangan suami isteri.