Afdlin Shauki kini bergelar Datuk Afdlin Shauki kerana beliau ialah antara 155 individu penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, lapor Utusan Online.
Penganugerahan itu telah dihebahkan oleh Afdlin di laman Instagramnya dan mendapat lebih 7,000 likes dan lebih seratus komen. Ujar Afdlin:
Alhamdulillah, kena pada masanya kerana saya baru sahaja menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki supaya kerja amal yang dilakukan lebih teratur dan tertib.
Penghargaan ini tidak boleh dilihat dari sudut anak seni semata-mata memandangkan ada bidang lain juga diberi perhatian kerana saya sentiasa melibatkan diri dalam kerja amal.
Dalam pada itu, ada pihak yang mempersoalkan mengapa Afdlin menerima anugerah tersebut kerana dia hanya seorang anak seni. Afdlin berkata ia terpulang pada citarasa masing-masing:
Saya rasa mereka yang memilih mempunyai sebab tertentu dalam pemilihan siapa yang hendak dianugerahkan darjah atau pingat.
Saya lihat gelaran ini sebagai pendorong untuk meningkatkan kerja amal, saya pun hanya dimaklumkan minggu lalu.
Di samping itu, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang terkenal sebagai pengasas produk D’Herbs berkata dia tidak menyangka akan menerima anugerah Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang dikurniakan dengan membawa gelaran Datuk Seri:
Ia menjadi kenangan manis buat saya dan isteri. Dalam usia 30 tahun, saya berharap anugerah ini menjadikan saya sekeluarga lebih murah rezeki dan dikurniakan kebahagiaan.
Dalam pada itu, ada sesetengah pengikut mendakwa kini mereka faham mengapa Afdlin lantang membidas Zizan Razak yang menimbulkan kontroversi berkenaan jenaka ‘Datuk beli’ nya semasa mengacara di malam Festival Filem Malaysia yang baru berlangsung.
Sekalung tahniah diucapkan buat Afdlin dan Aliff Syukri.-beautifulnara.com