Seorang lelaki berusia 40 tahun dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah dalam pertuduhan mengakses pornografi kanak-kanak di media sosial.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd Reizal Dagang dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
“Saya tak ada sesiapa lagi, hanya ada abang, saya harap hukuman diringankan,” rayu tertuduh.
Mengikut pertuduhan, pembantu kedai makanan itu didakwa mengakses bahan pornografi kanak-kanak di rumahnya di Tangkak, 9 malam, 23 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, polis sebelum ini telah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas mengesan ‘admin’ dalam Facebook.
Di dalam kumpulan Facebook itu, tertuduh memuat naik gambar dan video lucah kanak-kanak termasuklah yang sedang memakai uniform sekolah.
Tertuduh yang bertindak sebagai pentadbir kumpulan itu juga akan memberi kebenarkan kepada mereka yang ingin menyertai Facebook group terbabit.
Selepas diterima, ahli boleh memuat naik pelbagai video dan gambar lucah kanak-kanak yang hanya boleh diakses mereka yang terpilih sahaja.
Pada 24 Disember tahun lalu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan SKMM menerusi Ops Pedo menyerbu rumah didiami tertuduh.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh mengakses bahan lucah dan video kanak-kanak selain pernah diberi amaran oleh pihak Facebook sebelum ini sehingga (akaun) digantung selama tiga bulan.
Dalam serbuan itu, tertuduh mengakui bertindak sebagai pentadbir Facebook terbabit selain menemui beberapa pencarian yang pernah dilakukan tertuduh sebelum ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.