Dikritik oleh orang ramai kerana imejnya yang dikatakan semakin selekeh lebih-lebih lagi selepas berkahwin, Adira AF bagaimanapun memberitahu beliau sedikit pun tidak terasa dengan segala penghinaan  kerana sedar beliau tidak boleh menutup mulut orang daripada berkata-kata.
Malah, beliau akui ini adalah salah satu perkara yang harus ditempuhi apabila bergelar artis.
Biarlah apa orang kata kerana sebagai manusia, kita tidak boleh menutup mulut orang. Lumrah kehidupan sebagai anak seni tidak pernah terkecuali daripada kutukan. Ini kerana hakikatnya, tidak semestinya semua yang dilemparkan itu adalah kata-kata pujian.
Jelas Adira, meskipun beliau tidak gemar bergaya berlebihan, beliau masih lagi tahu untuk menjaga nama baik suaminya dan juga status sebagai seorang selebriti.
Bercakap soal gaya, saya meminati gaya minimalis dan suka warna hitam. Mungkin ini memperlihatkan saya sering keluar dengan penampilan yang seakan sama.
Saya tahu bagaimana hendak menjaga nama baik suami dan status yang disandang sebagai selebriti. Namun, mungkin saya lebih gemarkan gaya sederhana dan tidak begitu bijak bergaya seperti sesetengah artis lain.
Usah difikirkan setiap kritikan orang ramai, nanti kalau dilayan makin menjadi pula. Biarlah Adira merasa selesa dengan gaya beliau. Kalau berlebihan pun ada juga orang yang kritik.