January 20th, 2016

Nampaknya Fiza Elite dan Adam AF bukan lagi pasangan suami isteri selepas Fiza mengesahkan mereka berdua sudah bercerai buat kali kedua sekitar penghujung tahun lepas.

Pendedahan Fiza mengenai status perkahwinannya itu dibuat kerana ingin mengelak daripada salah faham dan fitnah. Jelas Fiza, beliau dan Adam berpisah secara baik.

Kami berpisah cara baik. Saya anggap sudah bukan jodoh untuk kami bersama lagi. Saya minta dia lepaskan saya tanpa dendam di hati. Sekarang masing masing bawa haluan sendiri.

Saya mahu kongsi hal ini kerana mahu maklumkan status sebenar. Ini kerana ramai sudah mula bertanya setiap kali saya berjalan tanpa Adam di sisi. Malah, Adam sudah tidak memuat naik gambar saya di laman Instagramnya. Jadi saya lihat pencerahan ini perlu supaya tak menjadi fitnah pula.

Pernah bercerai sebelum ini, Fiza akui beliau sudah cuba yang terbaik untuk mengekalkan rumah tangga mereka buat kali kedua, namun hubungan mereka semakin lama semakin hambar dan kali ini Fiza bernekad untuk berpisah sebagai jalan terbaik buat masalah yang mereka hadapi.

Kali pertama bercerai, saya masih berharap kami akan terus bahagia. Tetapi semakin lama, semuanya dilihat semakin kelam. Jadi, pada tahun lalu, saya nekad untuk berpisah dengannya. Kami tidak tinggal sebumbung beberapa bulan. Malah, pada sambutan Aidilfitri lalu, Adam beraya seorang diri di Sabah. Saya pula beraya dengan keluarga. Malah, tahun lalu, saya diuji dengan kehilangan bapa tercinta.  Dugaan itu bagai datang bertimpa. Tapi saya kuatkan diri.

Akui Fiza, pernah tahun lalu, mereka kembali tinggal sebumbung dengan harapan dapat menyelamatkan perkahwinan.

Tetapi semakin dicuba, semakin jauh perasaan itu. Sekitar Ogos tahun lalu, kami sebumbung tetapi tinggal dalam bilik berbeza.

Saya buat solat istikharah dan minta petunjuk daripada Tuhan. Keputusan lebih condong kepada perpisahan.

Adam dan Fiza pernah bercerai pada 28 April 2014 tetapi selepas beberapa bulan pasangan berkenaan membuat keputusan untuk merujuk semula pada tahun yang sama.

Buat kali kedua, Adam menceraikan Fiza dengan talak satu di rumah mereka di Gombak pada 21 September  2015. Mereka kemudian mengesahkan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28 Disember 2015.

Agak terkejut juga kami mendengar berita ini, tetapi kehendak takdir tiada siapa yang boleh melawan. Lagipun, Fiza dan Adam sudah cuba sedaya upaya untuk mempertahankan rumah tangga mereka,  namun jodoh mereka tidak panjang.

Sumber Berita: BH ONLINE


Comments are closed.

Loading...