Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini. Keadaan ini sekaligus akan memberikan kesan kepada ekonomi dan pendapatan seluruh rakyat Malaysia. Sebelum ini, Bank Negara Malaysia membenarkan penangguhan pinjaman selama enam bulan.
Baca: Bank Negara Malaysia Benarkan Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank Selama Enam Bulan
Ini perkara yang anda perlu tahu
Tujuan utama Bank Negara Malaysia melakukan inisiatif ini adalah untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 ini. Semua pinjaman bank dan pembayaran kewangan kecuali pinjaman kad kredit tidak perlu diselesaikan bermula 1 April ini bagi yang terjejas.
Tetapi ini tidak bermaksud anda tidak perlu langsung membayar sebaliknya ianya hanya ditangguhkan sehingga September 2020. Oleh itu, segala pembayaran pinjaman bank akan disambung semula bermula Oktober ini selepas tamat tempoh enam bulan yang diberikan.
Walaupun tiada penangguhan bagi pembayaran kad kredit, pelanggan boleh memilih untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman jangka masa tidak melebihi tiga tahun dengan kadar faedah maksimum 13% setahun.
Kriteria kelayakan
Untuk individu dan perusahaan kecil serta sederhana (SME), penangguhan pinjaman dan kewangan ini tertakluk pada:
- pinjaman/pembiayaan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada 1 April 2020
- didenominasi dalam Ringgit Malaysia
Kelonggaran ini diberikan kepada semua bank berlesen, bank Islamik berlesen, institusi kewangan yang dikawal oleh Bank Negara Malaysia.
Permohonan
Memandangkan penangguhan pinjaman ini adalah bersifat automatik maka tiada sebarang permohonan diperlukan untuk memohon. Institusi perbankan akan memaklumkan individu dan SME dengan maklumat penangguhan ini berdasarkan pinjaman atau pembiayaan masing-masing.
Pelanggan akan menerima notifikasi penangguhan ini melalui saluran yang bersesuaian seperti permesejan SMS dan notis penangguhan ini juga akan dimaklumkan di laman sesawang institusi perbankan.
Sekiranya penolakan pinjaman adalah daripada gaji, anda perlu memberitahu kepada syarikat untuk menghentikan penolakan dan berhubung dengan pihak bank untuk memaklumkan perkara tersebut.
Menarik diri dari penangguhan
Untuk yang tidak mahu sebarang penangguhan, bolehkah anda menolaknya? Jawapannya, boleh dan tiada masalah. Anda hanya perlu menghubungi pihak bank anda untuk menolak tawaran penangguhan ini memandangkan ianya bersifat automatik.
Anda juga boleh membalas notifikasi yang diberikan oleh pihak bank untuk memaklumkan anda tidak bersetuju dengan penangguhan ini. Jika anda tidak memberikan response, pihak bank akan menangguhkan pembayaran secara automatik.
Faedah dan penalti
Di dalam tempoh ini, peminjam dengan pinjaman dan pembiayaan bank yang memenuhi kriteria penangguhan ini tidak perlu membuat pembayaran balik dan tiada caj pembayaran lewat atau penalti akan dikenakan.
Tetapi faedah dan keuntungan akan terus terakru semasa tempoh penangguhan. Bermaksud, ini boleh menyebabkan jumlah ansuran menjadi lebih tinggi atau tempoh pinjaman akan dilanjutkan lebih lama daripada tempoh asal.
Artikel berkaitan: Bank Negara: Tidak Perlu Membuat Permohonan Penangguhan, Faedah Akan Terus Terakru