Pernah memberitahu beliau tidak akan pernah berhenti mengingatkan anak-anak tentang bapa mereka, pelakon Rita Rudaini menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa kesal apabila ada pihak yang tidak senang hati dan ‘panas’ sekiranya beliau berbaik semula dengan bekas suaminya, Aidil Zafuan demi anak-anak mereka.
Malah, pihak tersebut didakwa cuba melakukan pelbagai perkara untuk melaga-lagakan mereka berdua sehingga anak-anak tidak dapat merasa belaian dan kasih sayang seorang bapa.
Bagaimanapun, Rita tidak akan putus asa untuk mendekatkan silaturahim antara Aidil dan anak-anak mereka.
Entah kenapa ada yang ‘panas’ apabila saya kongsi pasal ayah kepada anak-anak. Itu darah daging dan mereka patut kenal serta tahu siapa ayah mereka. Dari dulu saya tak pernah memburuk-burukkan Aidil depan anak-anak. Saya cuma tak kongsi sebab waktu itu, anak-anak terlalu kecil selain menyangka Aidil akan mencari anaknya.
Cubalah bersihkan hati dan jangan melaga-lagakan kami. Ramai lagi pasangan yang ditakdirkan berpisah. Namun masih rapat, jenguk dan ambil tahu pasal darah daging mereka.
Menjawab pertanyaan daripada peminat menerusi IG Live isterinya baru-baru ini, Aidil memberitahu beliau bersedia menemui dua orang anaknya itu pada bila-bila masa. Kita doakan yang baik-baik sahaja dan semoga pertemuan itu akan terjadi.