Sejak kebelakangan ini, media sosial khususnya TikTok dan Threads mula dipenuhi dengan kisah pelakon kontroversi Zarina Anjoulie atau lebih dikenali sebagai Anju bersama Daddy Ash. Nama mereka menjadi sebutan apabila ramai netizen seakan-akan menantikan kewujudan video berunsur dewasa daripada mereka.
Apa yang lebih mengejutkan, berdasarkan pemerhatian di ruangan komen, ramai individu tanpa segan silu meminta pautan (link), bertanya bila ia akan “dirilis”, malah ada yang terang-terangan menyatakan tidak sabar menontonnya.
Lebih mengecewakan, apabila profil individu-individu ini diperhatikan, ada yang merupakan suami orang, ada yang bapak kepada anak kecil, malah tidak kurang juga yang wajahnya nampak baik dan sering berkongsi konten berunsur Islamik di media sosial.
Situasi ini menimbulkan persoalan dan kekecewaan netizen lain. Ramai membayangkan betapa hancurnya hati seorang isteri, anak atau ibu bapa jika mengetahui insan yang mereka percaya itu antara yang ghairah menantikan video sebegitu.
Isu ini akhirnya membuka perbincangan lebih besar iaitu bukan lagi mengenai Anju atau pasangannya, tetapi tentang bagaimana sikap dan nafsu segelintir lelaki mampu menjatuhkan maruah sendiri, sekaligus mencalarkan kepercayaan orang tersayang.