Fenomena betul drama ‘7 Hari Mencintaiku 2’ sekarang ini! Sampaikan watak Nurul Ain yang dibawa oleh pendatang baru, Wafariena Roslan mula meniti di bibir orang ramai.
Meskipun menerima kritikan hampir saban hari oleh penonton, namun Wafariena bersyukur dan menganggap perkara tersebut sebagai satu permulaan yang baik.
“Bila saya mendapat kritikan, maknanya watak Nurul berjaya meninggalkan kesan di hati peminat.”
Malahan gadis itu tidak menyangka bahawa nama ‘Nurul’ akan trending di laman sosial Twitter sebanyak beberapa kali, terima kasih kepada para penonton yang terkesan dengan watak dibawanya.
Langsung tidak melenting, Wafariena yang juga merupakan seorang penyanyi malah berasa kelakar apabila membaca kecaman yang dilemparkan kepadanya.
“Sejujurnya, saya puas hati bila kena kecam. Ada yang menghantarkan mesej peribadi (DM) di laman Instagram dan memanggil saya b***.”
Malahan ada juga penonton yang merakam video sendiri menonton ‘7 Hari Mencintaiku 2’ dan apabila sampai sahaja ke babak yang melibatkan Nurul, mereka mengangkat kaki di kaca televisyen sebagai tanda protes.
“Paling lucu, ada wanita berpangkat mak cik bertemu saya di luar dan berpesan kepada saya agar tidak mengikut kehendak Mak Leha untuk mendekatkan diri dengan Khuzairi.”
Jelas Wafariena, apa yang dipaparkannya menerusi watak Nurul itu hanyalah lakonan sahaja dan dia juga yakin peminat dapat membezakan watak antagonis tersebut dengan dirinya sebenar.