Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkongsi satu kisah menarik dan menyentuh hati di mana ada mangsa letupan dan kebakaran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang menolak bantuan zakat walaupun mereka sebenarnya layak.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, ketika pihaknya menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada mangsa, ada yang menolak kerana mereka sendiri merupakan pembayar zakat.
Ada yang kata mereka pembayar zakat, jadi tak nak terima, tapi tetap cuba hubungi seorang demi seorang kerana niat kami hanya untuk bantu.
Insiden yang menjejaskan hampir 300 penduduk Muslim, termasuk 166 individu asnaf, mendapat perhatian segera LZS yang turun padang memberikan bantuan seawal minggu pertama.
Selain itu, ada juga mangsa yang tidak mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana memilih untuk tinggal bersama keluarga atau saudara-mara. Sekarang, LZS sedang gigih mengesan mereka yang terjejas tapi belum dikenal pasti, dengan kerjasama agensi seperti MAIS dan JKM.
Kita tidak mahu ada yang tercicir kerana bagi kami, jika rumah musnah atau rosak teruk, mereka perlu dibantu sama ada melalui pembinaan semula atau baik pulih rumah.
Setakat ini, LZS sudah salurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada semua mangsa yang dikenalpasti.
Jelasnya, bantuan bencana itu merupakan sokongan segera kepada semua mangsa terlibat, sementara LZS menunggu maklumat lengkap bagi menyalurkan bantuan seterusnya.
Bantuan ini kita beri terus sejak minggu pertama kejadian, bagaimanapun kita akan buat penilaian semula dari semasa ke semasa bagi melihat keperluan lanjut.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.