Seorang guru dijatuhi hukuman mati kerana merogol 13 orang pelajar di sebuah sekolah yayasan di Indonesia, lapor Utusan.
Mahkamah Tinggi di Indonesia menjatuhkan hukuman tersebut selepas guru berkenaan, Herry Wirawan didapati bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu di antara tahun 2016 hingga 2021.
Lebih mengejutkan ramai, ketika laporan dibuat seramai 8 orang mangsa rogolnya telah melahirkan anak manakala dua orang lagi sedang mengandung.
Bukan itu sahaja, ada di antara mereka yang telah melahirkan anak sebanyak dua kali disebabkan perbuatan Herry itu.
Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepadanya namun pihak pendakwa raya kemudian membuat rayuan memohon hukuman ditukarkan kepada hukuman mati.
Menurut Ketua Hakim, Herri Swantoro, Mahkamah Tinggi Bandung menjatuhkan hukuman mati terhadap Herry selepas menerima rayuan dikemukakan oleh pendakwa raya.
Perbuatan Herry terbongkar pada Mei tahun lalu selepas ibu bapa salah seorang mangsa menyedari anak mereka mengandung.
Tertuduh dilaporkan menggunakan kekerasan dan pelajarnya tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit. Mereka juga hanya dibenarkan pulang ke rumah setahun sekali sahaja.
Berdasarkan laporan media tempatan, Herry dikatakan memancing pelajar yang kebanyakannya daripada golongan miskin dengan menjanjikan biasiswa dan insentif untuk belajar di sekolah itu.