Pesta Songkran, yang sinonim dengan perang air paling meriah di Thailand, bakal tiba tak lama lagi.
Seperti biasa, setiap tahun masyarakat berketurunan Siam di Malaysia pun tidak melepaskan peluang untuk menyambut perayaan ini.
Walau bagaimanapun, umat Islam dilarang untuk mengambil bahagian dalam festival tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Menurut laporan Sinar Harian, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa festival Songkran yang diraikan oleh masyarakat Thai itu adalah perayaan yang sarat dengan elemen budaya dan amalan agama Buddha.
Antara tradisi utama termasuk memandikan patung Buddha, menyimbah air sebagai simbol penyucian diri, serta memberi penghormatan kepada para sami.
Berdasarkan penelitian terhadap kandungan dan latar belakang festival ini, umat Islam adalah dilarang untuk mengambil bahagian dalam festival Songkran, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dia turut mengingatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka – (Riwayat Abu Daud).
Katanya lagi, apa-apa bentuk penyerupaan dalam sambutan perayaan agama lain walaupun atas alasan budaya atau sekadar hiburan tetap tidak dibenarkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam soal akidah dan menjejaskan jati diri umat Islam.
Festival ini juga sering disertai dengan unsur hiburan melampau, percampuran bebas lelaki dan perempuan, serta pakaian yang tidak menutup aurat dan semua ini jelas bertentangan dengan syariat Islam.
Justeru, umat Islam diingatkan agar tidak terlibat atau menyertai sebarang bentuk penganjuran, promosi atau kehadiran ke acara Songkran, sebaliknya, isilah masa dengan aktiviti bermanfaat yang selari dengan nilai Islam.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.