Nama penyanyi Aliff Aziz seakan tidak boleh lari daripada kontroversi, malah kali ini nama tunangnya Bella Astillah turut terkena tempiasnya apabila dikatakan mencetuskan masalah dengan kru produksi Zeel Production ketika Aliff terlibat didalam drama Meh Sandar Pada Aku.
Dikatakan, Bella mengamuk apabila Aliff diarahkan untuk kembali ke set penggambaran pada 10 Julai lepas tetapi pada waktu berkenaan Aliff berada di Sabah untuk beraya bersama tunangnya.
Dek kerana rasa tidak puas hati, Bella telah melarang Aliff untuk pulang ke Kuala Lumpur dan ia telah menyebabkan pihak Zeel Production menanggung kerugian yang agak besar.
Tidak mahu terus menjadi bahan kritikan ramai, Aliff menerusi portal Utusan Online menjelaskan apa yang berlaku cuma salah faham sahaja. Aliff percaya ada pihak yang cuba untuk mengada-adakan cerita untuk menjatuhkan maruahnya.
Sebenarnya, itu satu salah faham. Saya tidak tahu macam mana cerita sebegitu boleh keluar. Masalahnya, cerita itu memenangkan satu pihak sahaja dan meletakkan semua kesalahan di atas bahu saya.
Itu tidak adil. Tidak tahu kenapa mereka cuba untuk jatuhkan karier seni saya. Ini peluang kedua saya dan ada juga pihak tertentu yang seakan tidak berpuas hati dan buat cerita tidak elok pasal saya.
Tambah Aliff, sebelum beliau bercuti, pihak produksi memaklumkan penggambaran akan bermula pada 11 Julai tetapi pada saat akhir beliau diminta untuk bekerja semula pada 10 Julai.
Begini, saya pulang ke Sabah untuk beraya bersama keluarga tunang, Bella. Jadi, tiba-tiba sahaja pada 9 Julai, saya dimaklumkan penggambaran akan dimulakan pada 10 Julai, keesokan harinya.
Sedangkan saya telah dimaklumkan sebelum cuti lagi yang penggambaran akan bermula pada 11 Julai. Jadi, ada berlaku salah faham di situ. Malah, alasan kononnya penggambaran perlu dimulakan awal kerana cuti raya yang lama, itu tidak masuk akal.
Maka, saya bertanyakan hal itu dalam grup WhatsApp. Namun, berlaku sedikit pertelingkahan dan Bella terheret sama. Cuma, cerita yang kononnya tunang saya mengamuk dan memarahi mereka itu tidak benar.
Aliff menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak Zeel Production. Namun, beliau akui ada beberapa kru yang tidak puas hati dengannya.
Bella bertindak sebagai pengurus saya sekarang. Kenapa bila artis lain bawa pengurus masing-masing tidak mengapa, tapi bila saya bawa pengurus yang juga tunang saya, mereka tidak puas hati.
Bella bukan mengamuk atau memarahi seperti yang digembar-gemburkan, dia bertanya dan mungkin agak tegas bunyinya. Jangan salahkan kami berdua untuk tutup kesilapan sendiri. Dari awal penggambaran memang sudah ada masalah jadual, tapi bila libatkan kami terus jadi isu besar.
Bila isu ini terpampang di dada akhbar, saya tanya dalam WhatsApp siapa yang buka mulut, tiada seorang pun tampil. Berani buat berani tanggung. Jangan pandai-pandai buat cerita lepas itu diam.
Manusia ini memang akan ada perasaan hasad dengki dan tidak puas hati dengan orang lain. Ermmh, kesian juga pada Aliff Aziz yang cuba sedaya upaya untuk menjadi insan lebih baik tetapi masih ada yang ingin memburukkannya. Apa-apa pun harap Aliff teruskan bersabar.