Terbaharu, pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew telah dikenakan sebanyak 11 pertuduhan termasuk isu gangguan seksual pada jam 9 pagi tadi di mahkamah di Tenom.
Ketika ditemubual oleh pihak Kosmo, Ebit Lew menyifatkan pertuduhan terbabit sudah melampau serta mempercayai ada pihak yang cuba untuk menjatuhkannya dengan agenda-agenda tersembunyi.
Tambahannya lagi, dakwaan yang dilakukan semuanya tidak berasas serta telah dirancang oleh pihak tertentu supaya usahanya dalam melakukan aktiviti kebajikan untuk rakyat dihentikan.
Tuduhan itu dibuat oleh satu kumpulan yang merancang untuk mengenakan saya. Saya yakin tidak bersalah dan akan lalui ujian ini sebaiknya.
Dalam pada itu, apabila ditanyakan soal tuduhan terbabit, pendakwah ini mengatakan dia baru saja mengetahui hal berkenaan beberapa hari lalu sebelum diminta untuk hadir ke mahkamah.
Melalui pertuduhan itu, Ebit yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kekal dengan keputusan bahawa dirinya tidak bersalah.
Susulan itu, pihak beliau perlu menyerahkan dokumen berkaitan pembelaan diri pada 22 April nanti, manakala sesi perbicaraan seterusnya telah dijadualkan pada bulan Jun akan datang.