Kematian seorang akauntan wanita yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut oleh pihak polis kini menimbulkan pelbagai persoalan selepas bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada kepala serta beberapa bahagian tubuh mangsa.
Lapor Malaysia Kini, mangsa, Nurul Aina Mohd Karim, 37, ditemui tidak bernyawa di kediamannya di Bandar D’Marina, Kuantan pada 20 Mac lalu.
Menurut abang ipar mangsa, Zainal Abidin Ali, laporan bedah siasat mendedahkan bahawa punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala berpunca daripada trauma kesan objek tumpul. Malah, turut ditemukan kesan lebam di bahagian belakang tengkorak.
Terdapat lebam pada lengan, belakang leher serta paha. Pada malam kejadian, polis turut maklumkan terdapat keretakan dari bahagian belakang ke depan tengkorak dan otak mangsa juga mengalami lebam.
Tambahnya lagi, keluarga turut melihat kesan lebam jelas pada badan, paha kanan dan tangan kanan mangsa yang menimbulkan syak kuat bahawa kes tersebut bukan kematian biasa.
Maka memang kami syak ini sebenarnya adalah kes bunuh sebenar.
Lebih mengejutkan, katanya, pihak polis masih belum menahan suami mangsa untuk siasatan lanjut meskipun terdapat banyak bukti mencurigakan.
Keluarga kini merayu agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi mendapatkan keadilan buat Allahyarham Nurul Aina.
Kakak kepada allahyarham Nurul Aina, Khairun Munirah mendakwa polis masih belum mengambil keterangan daripada ahli keluarga mereka.
Kecewa dengan siasatan, mereka telah membuat lebih lima laporan polis bagi mendesak tindakan lanjut.
Difahamkan, Nurul Aina pernah membuat laporan keganasan rumah tangga terhadap suaminya pada tahun 2018. Suami mangsa merupakan bekas anggota tentera dan pasangan itu mempunyai dua anak berusia lima dan sembilan tahun.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.