Selepas terpalit dengan isu hak cipta lagu, ketua kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal menjelaskan konsert mereka tetap akan diteruskan kerana sememangnya mempunyai kelulusan daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
Memetik laporan Mstar, AC atau Mizal Zaini memberitahu dengan adanya permit berkenaan membuktikan kumpulan itu berada di pihak yang benar.
Konsert We 4U2C diteruskan. Di bawah undang-undang MACP tak perlu persetujuan pencipta lagu untuk konsert yang menggunakan live band sebab dah serahkan kepada badan tersebut.
Dengan adanya permit MACP ini menunjukkan kami berada di pihak yang betul. Tujuan kami hanya untuk mengadakan konsert, bukan menidakkan hak sesiapa dan sebagainya. Kerja kami adalah untuk buat persembahan.
Dalam pada itu, AC turut berkata isu yang dibangkitkan oleh Man Senoi itu adalah pelik kerana dia sendiri belum mengumumkan lagu apa yang akan dinyanyikan pada konsert nanti.
Jelas AC lagi, 25 lagu yang didakwa Man Senoi itu hanya sembilan lagu sahaja merupakan ciptaan penerbit itu daripada tiga buah album yang dikeluarkan oleh 4u2C.
Berkongsi lanjut, AC mendedahkan bahawa perpecahan 4U2C dahulu sebenarnya disebabkan oleh Man Senoi namun enggan memanjangkan perkara tersebut.
Man Senoi punca kumpulan kami berpisah. Cuma kami malas nak panjangkan isu itu dan kekal diam.
Saya juga mahu minta dia keluarkan suara kami daripada mana-mana digital platform sebab kami tak pernah beri apa-apa kebenaran.
Sebelum ini, kontroversi berkaitan konsert 4U2C mula tercetus apabila Man Senoi dan isterinya iaitu Mama Rap mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran WE 4U2C Live In Concert biarpun mereka memiliki hak sepenuhnya ciptaan lagu-lagu kumpulan itu.
Man Senoi juga mempersoalkan bagaimana 4U2C hendak mementaskan konsert berkenaan jika 25 buah lagu yang dirakam adalah hak milik syarikatnya, Zman Production.