Seorang mudir pondok di Kelantan yang dikenali sebagai Abuya, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, memetik Harian Metro.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Mengikut kertas pertuduhan, perbuatan itu dilakukan pada 15 Februari lalu di sebuah premis di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu kira-kira jam 9 malam.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) akta sama atas perbuatan yang dilakukan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.
Sebelum ini, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki serta memiliki gambar lucah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.