Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) yang telah dikenal pasti sebagai zon masalah penagihan dan pengedaran dadah paling kronik di seluruh negara.
Menurut laporan, angka itu diperoleh bermula 2021 hingga Februari tahun ini yang merekodkan Johor antara negeri tertinggi iaitu 17 KBT diikuti masing-masing 15 KBT di Terengganu dan Kelantan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, KBT adalah kawasan tumpuan yang menghadapi masalah penagihan dadah berdasarkan populasi klien yang menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti di seluruh negara dan beberapa kriteria lain yang menyumbang faktor risiko sesebuah kawasan.
Selain tiga negeri ini, Perak mencatatkan 14 KBT diikuti Selangor dan Kedah masing-masing mencatatkan 13 KBT dan Pahang iaitu 12 KBT, Melaka (10), Sabah (sembilan), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak dan Pulau Pinang (tujuh), Negeri Sembilan (enam), dan Labuan (tiga).
AADK menggerakkan semua agensi dan jabatan kerajaan bersama-sama komuniti serta masyarakat setempat sebagai inisiatif bagi mengurangkan KBT di seluruh negara dengan melaksanakan program atau aktiviti bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial.
Tambah Ruslin, statistik menunjukkan penyalahgunaan dadah semakin meningkat tahun demi tahun iaitu tahun lalu merekodkan 192,857 orang diikuti 145,526 orang pada 2023; 137,176 (2022); 123,139 (2021); dan 128,325 (2020).
Pekerja swasta merekodkan angka tertinggi penyalahgunaan dan penagihan dadah pada tahun lalu iaitu 40,685 orang terdiri daripada sektor pengangkutan, perkilangan, pengurusan, perkhidmatan, pertanian dan perikanan, teknikal, binaan, perkeranian dan hiburan.
Sementara itu, rekod kedua tertinggi pula mencatatkan penganggur iaitu 70,520 orang, diikuti bekerja sendiri (55,545), buruh (13,762), kerajaan (1,197), penuntut (356) dan pesara (213).
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.