Seorang anggota polis yang didakwa melakukan pencerobohan dan khianat terhadap anggota lain telah didakwa di mahkamah sebelum dijatuhi hukuman denda RM1,000 serta perintah berkelakuan baik selama dua tahun.
Ketua Polis Daerah Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani memaklumkan, kes tersebut berpunca daripada laporan polis bertarikh 9 April 2024 yang dibuat oleh seorang anggota bertugas di IPD Mersing.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan (pencerobohan rumah dan melakukan khianat). Tangkapan telah dibuat ke atas pelaku yang merupakan seorang anggota polis untuk membantu siasatan.”
“Pada 14 Mei 2024, pelaku telah dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi. Dia mengaku salah ke atas kedua-dua pertuduhan dan telah dijatuhkan hukuman denda RM1000 dan perintah berkelakuan baik selama dua tahun.”
“Siasatan selari turut dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan telah digantung kerja selama 15 bulan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Polis Daerah Mersing.
Menurut beliau, selepas selesai menjalani tindakan tatatertib, anggota terbabit telah ditukarkan ke IPD Johor Bahru Selatan sebelum kembali melapor diri di IPD Mersing pada 15 April 2026 selepas rayuan pertukarannya diluluskan atas faktor kebajikan seperti laporan KOSMO.
Terdahulu, laporan media mendedahkan seorang wanita mengalami tekanan emosi selepas kediamannya diceroboh. Dalam kejadian itu, sebanyak 38 helai pakaian termasuk seluar dalam serta uniform kerja milik suaminya yang juga anggota polis dilaporkan digunting.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut dikatakan merakam tindakan pelaku, sekali gus mencetuskan perhatian ramai di media sosial.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
