Beberapa individu yang pernah menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 1.0 tahun lalu kini dilantik sebagai kru bagi misi GSF 2.0, bukannya sebagai peserta seperti sebelum ini, memetik Harian Metro.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, hanya seorang sahaja peserta lama yang kembali sebagai peserta iaitu pempengaruh media sosial dan pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad.
“Sebenarnya yang terlibat tahun lepas, tiada seorang pun masuk semula sebagai peserta melainkan Zainal Rashid. Yang lain semuanya masuk sebagai kru, masuk sebagai kapten, masuk sebagai ‘medik’ dan sebagainya.”
“Mereka ini telah melalui latihan di Malaysia untuk membolehkan mereka melepasi keperluan minimum menjadi kru, contohnya mengikuti latihan bersama dengan Jabatan Laut,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pemilihan peserta GSF 2.0 yang dilihat melibatkan individu sama seperti misi sebelumnya.
Menurutnya, bagi misi kali ini, hanya tiga lelaki dipilih sebagai peserta, dengan beberapa syarat ketat ditetapkan termasuk memiliki kemahiran tertentu yang diperlukan dalam operasi flotila.
“Mereka telah melalui kursus pengucapan awam untuk menjadi pengatur atau ketua kapal mereka. Pada masa sama, mereka juga mengikuti kursus Sejarah Palestin untuk membolehkan mereka bercerita dan menjadi suara kepada Palestin di atas bot dan apabila bercakap di media sosial,” katanya.
Tambah beliau, kekurangan kru dalam misi kali ini menjadi antara faktor utama pemilihan individu berpengalaman untuk mengisi peranan penting.
“Siapa akan mengisi kekosongan tersebut? Pengatur untuk memimpin pasukan dalam bot (adalah) mereka yang perlu mempunyai pengalaman dalam Sumud yang lepas. Maka, kita mengambil mereka yang mempunyai pengalaman ini untuk memimpin pula negara dan peserta lain dalam bot mereka.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
