Usahawan terkenal, Christy Ng berkongsi perkembangan terkini berhubung tindakan undang-undang yang difailkannya bersama syarikatnya, Christy Ng Sdn. Bhd. terhadap seorang individu yang didakwa membuat kenyataan fitnah di media sosial.
Menerusi satu perkongsian, Christy memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 13 Februari 2026 telah membuat keputusan memihak kepada mereka terhadap defendan, Vikneshvra Rau A/L Jananegah.
Menurutnya, mahkamah turut memerintahkan beberapa tindakan susulan terhadap individu berkenaan.
Antaranya termasuk penilaian ganti rugi oleh mahkamah yang merangkumi ganti rugi am, teruk dan teladan.
Selain itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan atau menyebarkan sebarang kenyataan fitnah atau tidak benar berkaitan Christy Ng dan syarikatnya.
Defendan turut diarahkan supaya tidak menghubungi atau mendekati pihak terlibat.

Mahkamah juga memerintahkan supaya semua kenyataan fitnah tersebut dipadam serta mana-mana kenyataan serupa berkaitan mereka turut diturunkan.
Dalam masa sama, defendan juga diarahkan membuat permohonan maaf terbuka tanpa syarat dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Melayu secara satu muka penuh, selain menyiarkannya di akaun media sosial miliknya.
Permohonan maaf tersebut perlu mengesahkan bahawa kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah tidak benar, bersifat fitnah dan tidak berasas.
Menurut Christy, tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi reputasi dirinya dan syarikat daripada dakwaan palsu.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pelanggan, rakan niaga serta komuniti yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan sepanjang proses tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

