Seorang pelakon lelaki popular ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes penyalahgunaan dadah.
Memetik laporan Utusan Malaysia, perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap selebriti terbabit didapati positif.

Difahamkan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan pihak berkuasa melengkapkan siasatan, termasuk mengenal pasti jenis bahan terlarang yang diambil serta tempoh pengambilan dadah tersebut.
Pelakon berkenaan kini berada dalam tahanan polis dan telah dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama individu terbabit berdepan isu undang-undang berkaitan bahan terlarang. Sebelum ini, beliau pernah disabitkan kesalahan menggunakan dadah jenis THC oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Bagaimanapun, pelakon itu terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan hukuman tersebut digantikan dengan denda sebanyak RM5,000.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi lanjut berhubung kes berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
