Tekanan berkaitan pekerjaan dikenal pasti sebagai antara faktor yang berpotensi mendorong seseorang terlibat dalam komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Merujuk kepada satu kajian yang dijalankan pada tahun 2017, beliau menjelaskan bahawa pengaruh sosial, pengalaman seksual serta faktor peribadi lain turut memainkan peranan dalam mempengaruhi penglibatan individu dalam gaya hidup berkenaan.

“Mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada isu berkaitan LGBT, antaranya seperti yang ditunjukkan dalam kajian oleh Sulaiman et al. (2017), terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi penglibatan individu dalam gaya hidup LGBT.”
“Pengaruh sosial, pengalaman seksual, tekanan berkaitan kerja dan faktor peribadi lain mempengaruhi individu untuk tergolong dalam kategori ini.”
“Kajian tersebut menekankan bahawa gabungan elemen-elemen ini mungkin menyumbang kepada perkembangan tingkah laku berkaitan LGBT,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri mengemukakan data serta statistik terkini berkaitan trend LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan, kumpulan umur terlibat, komposisi etnik serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes berkenaan berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan.
Bagaimanapun, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa kerajaan pada masa ini tidak mempunyai statistik khusus mengenai jumlah populasi LGBT di negara ini. – Harian Metro
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
