Nama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan sememangnya tidak asing lagi menerusi penawaran kandungan podsiar popular di bawah saluran Keluar Sekejap, selain beberapa saluran lain di bawah syarikat sama.
Kini, selain kandungan berbentuk podsiar, Keluar Sekejap memperluaskan penawaran mereka dengan memperkenalkan sebuah aplikasi pembelajaran baharu dikenali sebagai Kelas Sekejap.

Kelas Sekejap memfokuskan kepada pembelajaran bahasa Inggeris secara lisan atau bertutur. Menerusi aplikasi ini, pengguna akan diperkenalkan dengan pelbagai perkataan serta ayat yang sering digunakan dalam perbualan harian. Pengguna akan mendengar sebutan bagi sesuatu perkataan atau ayat, sebelum diminta untuk mengulanginya semula.
Menariknya, aplikasi ini turut dikuasakan dengan integrasi kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi mengenal pasti tahap ketepatan sebutan atau bacaan semula pengguna, sekali gus membantu meningkatkan kemahiran pertuturan dengan lebih efektif.

Buat masa ini, Kelas Sekejap ditawarkan secara percuma dan pengguna boleh memilih tahap pembelajaran mengikut kemampuan masing-masing. Aplikasi ini turut menggunakan suara Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan sendiri untuk membacakan teks pembelajaran.
Bagi mereka yang berminat untuk meningkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris, aplikasi Kelas Sekejap kini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
