Penyanyi Kaka Azraff akhirnya tampil menjelaskan status sebenar rumah tangganya selepas timbul pelbagai spekulasi sejak kebelakangan ini.
Ketika ditemui OhBulan!, Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, mengesahkan bahawa dia dan suaminya, Adam Azriff, masih bergelar suami isteri.
“Kami masih suami isteri dan doakan yang baik-baik untuk kami. Sebenarnya, saya bukan berniat untuk rahsiakan status rumah tangga kami, cuma saya bimbang untuk membuka cerita peribadi kepada umum.”
“Mungkin dulu saya naif sedikit, tidak percaya tentang penyakit ain ini.”
“Tetapi selepas apa yang dah berlaku dan saya lalui sendiri, saya lebih berhati-hati dalam berkongsi hal peribadi dalam media sosial atau umum.”
Menurut Kaka, urusan rumah tangga adalah sesuatu yang sangat peribadi dan memadai untuk orang luar mengetahui gambaran asas sahaja tanpa perlu perincian lanjut.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau ditemui selepas acara pelancaran album sulungnya berjudul MPT yang berlangsung di Ara Damansara, Selangor, pada Isnin.
Jelasnya, anak-anaknya kelak mampu memahami situasi sebenar apabila tiba masanya, dan dia tidak mahu pemikiran mereka terjejas akibat pendedahan isu rumah tangga di media.
“Saya minta doa yang baik-baik sahaja daripada semua, kalau boleh memang saya tak mahu sentuh langsung hal rumah tangga demi anak-anak saya.”
“Mereka pun akan membesar, nanti semua boleh faham apa yang jadi. Saya tidak mahu mereka baca dan tahu berita yang kurang baik tentang ibu bapa mereka.”
Sebelum ini, media melaporkan seorang artis wanita terkenal didakwa telah kembali rujuk dengan bekas suaminya dalam tempoh idah, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Untuk rekod, Kaka dan Adam disahkan telah bercerai talak satu, dengan pengesahan lafaz cerai tersebut difahamkan dibuat secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Oktober lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

