Pelakon Yusuf Bahrin meluahkan rasa sebak apabila menerima berita isterinya, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Zizi Kirana, ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas kapal flotila yang disertai dipintas di perairan antarabangsa awal pagi Khamis.
Ya Allah, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya saat dimaklumkan. Rasa dunia saya gelap, tak tahu nak cakap apa. Tetapi saya reda dan bangga dengan perjuangan isteri saya.
Menurut Yusuf, kali terakhir dia berbual dengan Zizi ialah sekitar jam 1.40 pagi waktu Malaysia menerusi panggilan video.
Dia telefon beritahu lega sangat dapat mandi sebab sepanjang sebulan mereka hanya guna air laut sahaja. Dia juga beritahu sudah bersedia dan minta saya doakan yang baik-baik.
Lebih menyentuh hati, Zizi turut memohon maaf serta meminta dihalalkan makan minumnya sepanjang hidup sebagai isteri sebelum talian perbualan itu terputus.
Dalam perkembangan sama, Yusuf memaklumkan beliau menerima panggilan daripada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) sekitar jam 8.30 pagi yang memintanya hadir ke pusat berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai isterinya.
Setakat ini, lapan rakyat Malaysia termasuk Zizi disahkan ditahan selepas kapal Sirius dan Alma yang membawa misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera Israel pada malam 1 Oktober waktu Gaza.
Maklumat itu turut dikongsi melalui akaun rasmi Sumud Nusantara Official yang menyiarkan rakaman video terakhir Zizi sebelum pelayaran.
Dalam video tersebut, Zizi memperkenalkan dirinya sebagai warganegara Malaysia serta menegaskan bahawa misi flotila bersifat aman, tanpa keganasan dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Zizi juga merayu kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendesak Israel menjamin keselamatan semua sukarelawan serta menuntut pembebasan segera tanpa syarat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.