Pelakon dan model, Thanuja Ananthan meluahkan rasa sedih setiap kali tiba musim Hari Raya Aidiladha apabila melihat haiwan seperti lembu dan kambing disembelih.
Meskipun begitu, Thanuja yang kini berusia 40 tahun tetap menghormati ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam sempena Aidiladha.
Setiap tahun bila tiba Aidiladha, saya rasa sangat sedih melihat lembu dan kambing disembelih. Bila tengok video mereka, terutamanya bila mereka menangis, hati saya rasa hancur tengok mata mereka.
Saya rasa kasihan sangat pada mereka. Saya faham ini adalah satu perayaan dan saya tak berniat nak kurang ajar, tapi saya tidak dapat tahan rasa sedih kepada lembu dan kambing.
Bekas Miss World Malaysia 2009 itu turut memaklumkan bahawa dia perlu menjauhkan diri daripada media sosial buat sementara waktu kerana tidak sanggup melihat video penyembelihan haiwan.
Kenapa perlu dibesarkan, kemudian disembelih? Saya tak boleh nak faham, walau macam mana saya cuba.
Dah macam anak sendiri. Jadi macam haiwan peliharaan. Haiwan itu pun tak akan faham, sebab itu mereka menangis.
Walaupun emosinya terkesan, Thanuja tetap menghargai penerangan penuh hormat dan sabar yang diberikan oleh warganet beragama Islam.
Terima kasih kepada semua saudara Muslim saya di sini (Threads) yang meluangkan masa untuk bersikap baik dan sabar dengan apa yang saya rasa hari ini. Anda semua sangat sabar menerangkan dan mendidik saya dari pelbagai sudut pandangan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.