Umum tahu bahawa 1 Jun merupakan hari pertama negara diumumkan ‘total lockdown’. Menerusi berita terkini, sekatan jalan raya turut akan diadakan untuk melakukan pemeriksaan terperinci mengenai surat sah untuk keluar bekerja.
Sepanjang hari ini juga, terdapat sebanyak 95,142 syarikat yang memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0)
Ujar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), jumlah itu adalah daripada 517,144 syarikat dengan 9.67 pekerja yang berdaftar di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) kelolaan kementeriannya setakat jam 12 tengah hari ini.
Katanya, berdasarkan jumlah kelulusan itu, dianggarkan 1.2 juta pekerja dibenarkan untuk bekerja di premis syarikat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“MITI turut menggalakkan syarikat daripada sektor yang dibenarkan beroperasi tetapi masih belum mendaftar dengan CIMS 3.0 untuk melaksanakan perkara itu dengan kadar segera”
Ia bagi membolehkan mereka mendapat kelulusan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini.
Untuk makluman semua, surat kelulusan yang dikeluarkan oleh MITI melalui CIMS 3.0 hendaklah mengandungi kod QR. Ia adalah ciri diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan untuk mengesahkan kesahihan surat kelulusan.
MITI berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkenaan untuk melaksanakan keputusan terkini.
Sehingga hari ini, katanya, sembilan kementerian sudah menyediakan senarai sektor ekonomi masing-masing yang diluluskan untuk MITI mengeluarkan surat kelulusan kepada syarikat yang berdaftar dengan CIMS 3.0.
Katanya, pusat operasi khas turut ditubuhkan bagi memastikan penyelarasan CIMS 3.0 yang berkesan serta kelancaran proses aplikasi sesuai dengan SOP PKP 3.0.
Apa pun, diberi kebenaran bekerja bukan tiket untuk kita bertindak sambil lewa ya, tetaplah patuh SOP dan sama-samalah kita membendung penularan wabak berjangkit ini.