Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menyiasat pengaturcara komputer sambilan, Azharuddin Othman @ Abdullah kerana menjual maklumat peribadi rakyat Malaysia.
Aktivis pro-Deklarasi Rakyat, Hishamuddin Rais berkata, memiliki data peribadi secara tidak sah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan seharusnya diambil.
“Memiliki data itu adalah salah, dari mana kamu (Azharuddin) dapat data itu? Itu adalah persoalan utama. MCMC (SKMM) sepatutnya mempersoalkan dari mana data tersebut diambil.
“Dari mana kamu dapat 900 ribu data? Dia telah melakukan jenayah, jadi saya rasa antara pihak Deklarasi Rakyat tidak ada apa-apa hubungan seperti yang dikatakan Datuk Kamaruddin Jaafar (Ketua Sekretariat Deklarasi Rakyat),” lapor FMT.
Menurutnya, beliau sendiri turut turun padang dalam usaha mengumpul tandatangan rakyat Malaysia agar desakan menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri berjaya mencapai matlamatnya.
“Saya sendiri pergi ke pasar malam, tidak menggunakan penggodam. Saya pergi ke tujuh forum untuk mengumpul nama-nama di situ. Memanglah tidak sampai 20,000 tetapi saya sendiri mengumpul 3,000 hingga 4,000 tanpa menggunakan data,” kata Hishamuddin.
Pada 26 Mei lalu, Azharuddin tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi Ratu Naga yang ingin membeli pangkalan data mengandungi 900,000 nama pada harga RM5,000.
Ratu Naga bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya pernah berhubung dengan Azharuddin, apatah lagi membeli pangkalan data yang mengandungi 900,000 nama dan nombor kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat.
“Dengan nama Allah saya tak kenal dia langsung. Ini fitnah. Tapi saya tergamam sebab dia boleh bersumpah kenal saya,” kata Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah.
Pada Rabu, pesara tentera Othman Ab Majid telah membuat laporan polis berhubung dakwaan jualan pangkalan data nama untuk Deklarasi Rakyat.
Semalam, seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Othman Ab Majid, 65, membuat laporan polis terhadap Azharuddin Ratu Naga yang didakwa menjual dan membeli pangkalan data berkenaan.