Ujian bertimpa buat pasangan warga emas apabila 30 kambing dan 50 ayam belaannya rentung dalam kebakaran sebuah ladang di Jalan Kampung Permatang Durian, Padang Serai.
Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi turut mengakibatkan pasangan warga emas masing-masing berusia 70 dan 63 tahun dipercayai pemilik ladang melecur selepas cuba menyelamatkan haiwan ternakan mereka.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 5.52 pagi.
“Sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, anggota mendapati berlaku kebakaran kandang kambing dan ayam yang sudah 90 peratus musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, warga emas lelaki berusia 70 tahun itu melecur di tangan, manakala wanita berusia 63 tahun pula melecur di bahu.
“Kebakaran dapat dikawal jam 6.17 pagi dan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Semoga pasangan ini terus cekal dan tabah ya. Moga ada rezeki di kemudian hari. Aamiin