Sebanyak 75 peratus daripada 3,185 kes HIV yang dilaporkan pada tahun lalu melibatkan golongan belia berumur antara 20 hingga 39 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung keadaan semasa jangkitan HIV dalam negara ini termasuklah jumlah pesakit mengikut kategori kumpulan umur, jantina dan punca utama jangkitan.

Tambahnya, 90 peratus daripada jumlah keseluruhan itu adalah dalam kalangan lelaki berbanding wanita sebanyak 10 peratus.
Jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia secara amnya telah mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus antara 2000 dan 2009. Namun, mulai 2010 sehingga kini, kadar penurunan semakin perlahan iaitu hanya 27 peratus.
Dzulkefly turut berkata jangkitan HIV di negara ini juga telah menunjukkan perubahan lanskap mod jangkitan yang ketara.
Jelasnya, perubahan lanskap itu adalah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan dadah kepada jangkitan melalui transmisi seksual.
Terkini, punca jangkitan HIV adalah melalui seksual 96 peratus pada tahun 2024 di mana 32 peratus jangkitan adalah secara heteroseksual dan 64 peratus homoseksual/biseksual.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.