Selepas berjaya dengan single Penerang Hati bersama Saujana, 6ixth Sense kembali dengan lagu-lagu berunsur islamik, kali ini dengan single Cintaku Padamu Seluas Angkasa. Lagu berbentuk selawat ini merupakan single terbaru yang bakal dimuatkan dalam album terbaru 6ixth Sense, Damai Yang Hilang yang khabarnya akan dipasarkan Jun ini.
Gjie, selaku gitaris utama 6ixth Sense, ketika ditemui baru-baru ini di Restoran Sofea Wangsa Maju, menyebut usaha untuk menyampaikan lagu-lagu berunsur islamik ini telah lama mereka perjuangkan.
Antara lagu kami dahulu yang memiliki genre yang hampir serupa ialah lagu Cinta Matiku dan lagu duet bersama Letto, Cinta Yang Sempurna. Kedua-duanya lagu ketuhanan. Kini kami kembali dengan lagu-lagu berunsur nasihat agar kami dan semua peminat mendapat pengajaran dan manfaat. Moga usaha kami mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.”
Apabila ditanya tentang perkembangan terbaru, Gjie mengakui mereka masih sibuk dengan program realiti VERSUS TV9 dan akan kembali fokus pada promosi album terbaru apabila selesai Versus Final pada 8 Jun kelak. Antara rangka promosi yang diaturkan pihak Universal Music ialah tour IPT, showcase TentangKita bersama perunding motivasi Nizal Mohamad dan Idzhar Jumali, serta siri berbuka puasa bersama peminat dan media.
Abang Nara dah dengar lagu Cintaku Padamu Seluas Angkasa menerusi video klip di atas. Sememangnya lagu tersebut menenangkan jiwa dan berkonsepkan ketuhanan seperti yang telah dikatakan. Respek kepada 6ixth Sense yang terus memperjuangkan genre lagu sebegini.