Isteri kepada pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril, dilaporkan oleh mStar telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Berdasarkan semakan mStar di mahkamah pada Selasa, nama pasangan itu tertera dalam jadual kes harian dengan sebutan kes berlangsung sekitar jam 2.30 petang di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Faisal, yang lebih dikenali sebagai Mickey, mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Khalish Aryan.
Terdahulu, Faisal pernah berdepan ujian berat apabila menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah pada Mei tahun lalu hingga terpaksa dirawat hampir tiga minggu di hospital. Namun, kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) oleh Pejabat Peguam Negara pada Mei lalu.