Masalah penyewa yang liat nak bayar sewa ni memang selalu terjadi dalam masyarakat kita dan seringkali tuan rumah dalam dilema apabila ada penyewa yang susah sangat nak membayar sewa kadangkala sampai enam bulan. Satu tempoh yang agak lama juga admin rasa.
Dilema yang tuan rumah terpaksa tanggung ekoran tidak sampai hati untuk mengarahkan penyewa keluar atau pun tidak berani mungkin dek kerana sikap penyewa.
Namun kini, masalah yang dihadapi oleh empunya rumah mungkin boleh diatasi dengan cara ini. Seorang peguam hartanah Tuan Salkukhairi Abd Sukor telah memuatnaik satu status, apa yang patut dilakukan oleh tuan premis jika penyewa tidak membayar sewa sehingga enam bulan.
PENYEWA DAH 6 BULAN TAK BAYAR SEWA DAN TAK NAK KELUAR. APA YANG PATUT DILAKUKAN?
Saya fikir ramai yang mengalami keadaan macam ni:
“Saya ada sewakan rumah saya kepada penyewa. Tetapi penyewa dah 6 bulan tak bayar sewa. Saya dah mintak penyewa keluar daripada rumah sewa, tetapi dia enggan keluar. Apakah tindakan yang patut saya lakukan?”Ramai yang memberi pandangan dan cadangan untuk selesaikan masalah tersebut mengikut pengalaman masing-masing.
Ada yang mencadangkan buat report polis, potong bekalan elektrik dan air, tukar mangga pagar, tampal iklan rumah akan dijual, lantik kontraktor buat renovation rumah dan macam macam lagi.
Bahkan ada juga yang mencadangkan guna samseng dan ilmu hitam untuk keluarkan penyewa. Astaghfirullah.
Tahukah anda, cara-cara tersebut walaupun secara kebetulannya mungkin berkesan dalam sesetengah keadaan, tetapi ianya bukanlah jalan penyelesaian yang ditetapkan oleh undang undang.
Report polis misalnya bukanlah cara yang tepat untuk selesaikan masalah tunggakan sewa. Ini kerana urusan sewaan adalah transaksi kontrak antara owner dan penyewa. Jadi tindakan yang boleh diambil hanyalah melalui tindakan sivil. Melainkan wujudnya elemen jenayah dilakukan oleh penyewa tersebut terhadap owner seperti ada ugutan jenayah, atau cubaan mencederakan owner dan sebagainya.
Cara yang sepatutnya dilakukan mengikut undang-undang adalah seperti berikut:
1. Lantik peguam sivil.
2. Peguam akan hantar notis tuntutan tunggakan sewaan terhadap penyewa. Penyewa diberi masa 7 hari untuk menjelaskan bayaran sewaan yang tertunggak.
3. Jika penyewa masih enggan bayar tunggakan sewaan, peguam akan hantar notis penamatan sewaan dan notis pengosongan premis kepada penyewa.
3. Jika penyewa enggan mengosongkan premis sewaan, peguam akan failkan saman terhadap penyewa.
4. Setelah dapat penghakiman daripada Mahkamah, peguam akan failkan permohonan Writ of Distress.
5. Setelah perintah Writ of Distress diperolehi daripada Mahkamah, owner dan peguam akan pergi dengan bailiff (wakil mahkamah) diiringi dengan polis ke premis sewaan tersebut untuk mengarahkan penyewa mengosongkan premis tersebut. Dan barang-barang milik penyewa akan disita dan dilelong oleh Mahkamah untuk menampung segala tunggakan sewa dan kos-kos yang berkaitan.
Maka, jika ingin selamat, gunakanlah pendekatan perundangan, bukannya mengikut emosi dan kemarahan semata-mata. Tindakan berdiam diri dan bersabar lebih lama juga hanya akan memburukkan lagi keadaan. Jadi bertindaklah sekarang mengikut peruntukan undang-undang.