Dunia digemparkan dengan kehilangan kapal selam KRI Nanggala-402 milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) di perairan Bali pada 21 April 2021.
Dilaporkan kapal selam KRI Nanggala-402 membuat selaman untuk latihan penembakan torpedo di perairan Bali Utara. Namun, KRI Nanggala tidak menyampaikan hasil latihannya sebelum terputus hubungan dengan pangkalan.
Pihak TNI-AL langsung melakukan operasi mencari dan menyelamat kapal selam KRI Nanggala-402. Ini dia kronologi hilangnya kapal selam KRI Nanggala-402 menerusi beberapa portal berita tempatan.
21 April 2021
3.00 Pagi: Kapal selam buatan Jerman itu meminta izin untuk menyelam pada kedalaman 13 meter untuk persiapan menembak torpedo.
3.46 – 4.46 Pagi: KRI Nanggala-402 terputus hubungan dari pangkalan. Periskop juga tidak kelihatan dan hubungan kapal dan pangkalan menjadi terputus. Oleh itu, pihak TNI-AL mengerahkan helikopter untuk meninjau keadaan di permukaan air namun hasilnya tiada.
Sesuai dengan penjadualan, kapal selam KRI Nanggala-402 akan timbul di permukaan pada jam 5.15 pagi.
5.15 Pagi: Pihak TNI melakukan prosedur ‘Sublook’ iaitu tindakan yang dilakukan jika kapal selam terputus hubungan dan dipercayai jika mengalami masalah. Namun, setelah tiga jam pencarian, prosedur telah bertukar status menjadi ‘Submiss’ (kapal selam hilang) pada jam 6.46 pagi.
Menurut Laksamana Yudo Margono, pihaknya akan menukar status ‘Subsunk’ jika sudah ada kepastian bukti kapal selam itu tenggelam di laut
22 April 2021
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Menerusi tinjauan daripada udara, didapati terdapat kesan tumpahan minyak di kawasan posisi awal kapal selam itu menyelam.
Dalam misi pencarian kapal selam KRI Nanggala-420, 21 kapal milik TNI dan bantuan armada kapal dari Polis Republik Indonesia terlibat Begitu juga bantuan dari negara luar seperti Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia turut sama membantu misi mencari dan menyelamt kapal selam milik Indonesia itu.
23 April 2021
TNI mengesan isyarat satu objek dengan kemagnetan tinggi ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Jurucakap TNI, Achmad Riad mengesahkan isyarat objek tidak dikenal pasti itu dikesan pada kedalaman antara 50 dan 100 meter.
Pada ketika itu, pihak TNI hanya mempunyai masa sehingga jam 3 pagi Sabtu memandangkan bekalan oksigen KRI Nanggala-420 hanya mampu bertahan selama 72 jam bermula daripada ianya menyelam.
24 April 2021
Laksamana Yudo Margono mengesahkan pasukan mencari dan menyelamat menemukan serpihan yang diyakini berasal daripada kapal selam berkenaan. Pihaknya yakin berlaku keretakan pada kapal selam sehingga komponen-komponen itu timbul di permukaan.
Antara objek yang ditemukan ialah pelurus tabung torpedo,paip pendingin, botol berwarna oren yang mengandungi minyak pelincir dan juga sejadah.
Pencarian kapal selam KRI Nanggala-402 masih tetap diteruskan walaupun telah melepasi masa anggaran ketahanan bekalan oksigen 72 jam iaitu jam 3 pagi (waktu tempatan).
KSAL juga mengubah status KRI Nanggala-402 daripada ‘submiss’ (kapal selam hilang) kepada ‘subsunk’ (kapal selam karam).
25 April 2021
Dukacita dilaporkan kapal selam Indonesia, KRI Nanggala-402 ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali dan kesemua 53 kru disahkan meninggal dunia. Laksamana Yudo Margono mengesahkan serpihan kapal selam yang ditemui pecah kepada tiga bahagian dan Panglima TNI Hadi Tjahjanto mengesahkan seluruh kru KRI Nanggala-402 telah gugur.
Lebih banyak serpihan kapal selam KRI Nanggala yang ditemukan termasuk sebuah sauh dan sut keselamatan milik kru kapal. Pihak berkuasa Indonesia menerima isyarat lokasi pada kedalaman lebih 800 meter menggunakan kapal selam penyelamat milik Singapura untuk mendapatkan pengesahan visual.
Artikel berkaitan : Rakaman Visual Menemui KRI Nanggala 402 Terbelah Kepada 3 Bahagian
26 April 2021
Laksamana Yudo Margono menyatakan jenazah kru kapal selam KRI Nanggala-402 akan dievakuasi ke Surabaya, Jawa Timur. Proses evakuasi kru kapal dan kaedahnya akan dikoordinasikan kemudian.
Pihaknya juga turut menyatakan akan memberikan penghargaan kepada seluruh kru kapal KRI Nanggala-402 dengan kenaikan pangkat dan perkara itu akan segera diproses
Sumber : Kompas tv, Kompas.com, CNN Indonesia, Harian Metro, Berita Harian