Jarang menayangkan hubungan cinta mereka di khalayak umum, ramai peminat yang nyata kagum melihat pasangan Syafiq Kyle dan Mimi Lana.
Siapa sangka hubungan yang nampak utuh di antara dua pelakon itu akhirnya menemui titik noktahnya selepas 5 tahun berkasih. Perkara itu disahkan sendiri oleh Mimi Lana.
Bahkan kedua mereka sudah pun tidak mengikuti akaun satu sama lain di laman Instagram selain turut memadam gambar mereka berdua yang pernah dimuat naik sebelum ini.
Sudah sebulan membawa haluan masing-masing, pelakon wanita itu tidak mahu menunding jari kepada sesiapa dan menjelaskan bahawa perpisahan itu berlaku kerana tiada lagi persefahaman di antara mereka.
“Apa yang boleh saya katakan antara kami sudah tiada persefahaman. Ini tiada kaitan dengan soal populariti atau gangguan orang ketiga.”
Walaupun kini hanya teman biasa, Mimi Lana mengatakan bahawa dia dan Syafiq Kyle langsung tidak bermasam muka. Kedua pelakon itu menganggap bahawa jalinan jodoh di antara mereka tidak panjang.
Malah Mimi tidak segan untuk mengaku bahawa dia yang meminta perpisahan itu. Namun keputusan yang dibuat tersebut tetap membuatkan dia sedih.
“Bohonglah kalau nak kata saya tak sedih dengan perpisahan ini. 5 tahun menjalinkan hubungan, banyak kenangan yang pernah kami cipta bersama.”
Tidak mahu terus membebankan diri dengan isu ini, Mimi kini memberikan fokus utama kepada bidang lakonan. Bahkan wanita tinggi lampai itu tidak menolak untuk bergandingan dengan bekas kekasihnya pada masa akan datang atas dasar profesional.
Kehidupan solo ini nyata mampu membuka ruang kepada Mimi untuk memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya seninya. Selain dia menyatakan untuk meletakkan soal cinta di tepi dahulu buat masa ini.
Nak buat macam mana kalau tiada jodoh kan?