5 Tahun Anakku Telah Pergi Meninggalkan Aku, Detik MH17 Masih Segar Dalam Ingatan

Kehidupan

5 Tahun Anakku Telah Pergi Meninggalkan Aku, Detik MH17 Masih Segar Dalam Ingatan

Detik waktu berlalu dengan sangat pantas. Sedar atau tidak, hanya berbaki 9 hari lagi Ramadan akan mengucapkan selamat tinggal. Sesungguhnya, berpisah dengan bulan yang penuh keinsafan dan kemaafan itu sangat memilukan.

Setiap umat Islam pada bulan puasa juga mempunyai memori tersendiri pada bulan yang penuh kerberkatan ini bersama keluarga tercinta lagi disayangi.

Advertisement

Seorang ibu adalah insan yang tidak pernah melupakan memori ini bersama anak-anak walaupun anak yang tercinta sudah mendirikan rumah tangga kerana kenangan itulah yang mengakrabkan lagi sesebuah perhubungan.

Begitu juga ibu kepada pembantu juruterbang MH17 Ahmad Hakimi Hanapi Mohd Noor masih lagi mengingati satu-satunya anak lelaki beliau yang pergi meninggalkannya pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Noriah Daud sebelum Ramadan sempat mengunjungi memorial peringatan bagi memperingati hari kejadian yang berlaku pada bulan puasa tahun 2014.

Mengingat balik detik-detik bersama Ahmad Hakimi, beliau adalah seorang anak yang tidak pernah meninggalkan puasa dan juga Tarawih.

Jika Hakimi tidak terbang menjalankan tugas, beliau memang wajib ke masjid untuk berbuka puasa dan menunaikan Tarawih bersama-bersama dengan keluarga kerana ini sahaja waktu yang beliau ada.

Beliau sangat suka pergi Tarawih sejak dari kecil lagi. Dia tak pernah tinggalkan saya dan ayahnya untuk menunaikan solat Tarawih bersama-sama.

Jika tidak pergi dia akan marah dan cakap kita ni pemalas, katanya kepada Amazingnara ketika dihubungi.

Masa hari kejadian tersebut, dia telefon jam 1.30 pagi memberitahu dia di pasaraya untuk membeli makanan berbuka puasa jika ustaz Hisyam tidak mengambilnya di lapangan terbang.

Selepas dia telefon itu, itulah kali terakhir saya berhubung dengan anak lelaki saya. Keesokannya atau malam itu juga mendapat panggilan telefon dari Amsterdam kapal terbang MH17 kena tembak di Ukraine.

Kejadian ini berlaku lagi seminggu umat Islam nak menyambut hari raya Aidilfitri.

Apa yang sedih sangat, beliau sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia untuk pulang beraya di Kelantan bersama saya. Dia beritahu nanti nak balik raya, abah bawalah kereta baru dia sebab kereta abah buruk.

Kereta dia baru dan cantik. Beliau kata akan pulang ke kampung bersama isteri dan anak naik kapal terbang sahaja. Apabila dia sudah tiada, kami tetap pulang ke kampung bawa pulang kereta yang telah diamanahkan olehnya.

Hakimi adalah seorang anak yang sangat penyayang. Tahun ini dah masuk 5 tahun beliau pergi dan meninggalkan kami sekeluarga. Kenangan bersama dia sepanjang bulan Ramadan kekal dalam ingatan bersama dia.


Semasa bulan puasa ini, teringat sangat makanan kegemaran dia. Sering kali masak makanan kegemaran dia iaitu daging goreng, air milo, spageti, dan roti Pakistan menu wajib saya masakkan untuknya.

Setiap kali berbuka puasa akan balik ke rumah saya jika dia tidak keluar berkerja.


Semasa bulan puasa, waktu berbuka juga sangat meriah kerana dia selalu bantu, apabila beliau sudah tiada sekarang memang sangat susah kerana beliau  ketua keluarga selepas ayahnya.

Tiada siapa yang boleh mengantikan satu-satunya anak lelaki sendiri sepenuhnya.  Jika duduk diam-diam teringat sangat dengan dia yang suka berborak dengan ibunya dalam bilik sambil berbaring.

Ketiadaan satu-satunya anak lelaki sudah boleh diterima. Ini semua kehendak Allah untuk mengambil anaknya pada bulan yang baik. Saya terima Qada dan Qadar ini kerana jenazah anak saya ditemukan dengan keadaan yang sempurna.

Ahmad Hakimi adalah seorang anak yang terbaik pinjaman Allah. Beliau seorang yang menjaga hubungan dengan tuhan dan juga ahli keluarganya.

Kira-kira jam 11 malam, pada hari Khamis 17 Julai 2014, bersamaan 19 Ramadan 1435 Hijrah, pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine mengorbankan semua 298 penumpang dan kru. Mangsa terdiri daripada rakyat Belanda, Malaysia, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Selepas 4 tahun penyiasatan, Pasukan Siasatan Bersama (JIT) diketuai Belanda pada 24 Mei lalu merumuskan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu milik tentera Rusia, BUK TELAR, pada 17 Julai 2014.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Comments are closed.

Loading...