Beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan dan dititikberatkan sebelum membuat keputusan membeli kereta adalah tujuan penggunaan, kadar harga semasa dan juga penggunaan minyak oleh kereta tersebut.
Namun jangan terlupa ada perkara lain lagi yang perlu difikirkan sebelum keputusan itu dibuat, iaitu susut nilai dan harga kereta tersebut selepas beberapa tahun.
Ini kerana ia memboleh membantu anda mengagak berapa nilai sesebuah kereta itu pada masa hadapan. Jika membeli kereta yang mempunyai nilai susutan yang tinggi, kemungkinan besar akan mengalami kerugian dalam beberapa tahun apabila kereta anda itu hendak dijual.
1. Perodua Myvi
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 65%
Kereta ini dianggarkan paling banyak di atas muka bumi Malaysia, iaitu Perodua Myvi. Dikatakan model keluaran Malaysia paling berjaya dan dianggarkan sebanyak 500,000 buah Perodua Myvi berada di atas jalan raya sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005. Kenyataan ini dibuktikan dengan melihat di persekitaran anda, pasti kerap lihat model ini.
Ia juga jadi pilihan kerana reka bentuk yang comel dan futuristik, ruang dalaman yang agak luas, serta harga mampu milik yang menjadi pilihan mereka yang berpendapatan sederhana.
Ia dijual dengan harga purata RM45,000 pada tahun 2013 dan kini dengan reka bentuknya yang tak luput dek zaman, harganya menurun menjadi RM29,000 bagi Myvi berenjin 1.3 liter, mengikut keadaan kereta.
2. Toyota Vios
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 62% – 65%
Dikhabarkan musuh tradisi Honda City, Model kereta ini antara yang terbanyak digunakan rakyat Malaysia. Rekabentuk unik serta ketahanan Toyota Vios membuatkan ia menjadi pilihan semua bangsa dan lapisan masyarakat di Malaysia. Dijual dengan harga seperti Honda City iaitu anggaran RM85,000 pada tahun 2013, kini ia boleh didapati dengan harga RM54,000.
3. Nissan Grand Livina
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 60%
Sewaktu dilancarkan pada tahun 2007 di Malaysia, kereta MPV ini dapat perhatian ramai kerana sesuai dijadikan kereta keluarga pada harga yang berpatutan. Mempunyai 5 tempat duduk dewasa dan 2 untuk kanak-kanak, ruang di dalamnya agak luas dan boleh diubah suai supaya mendapat lebih ruang. Pengunaan minyak tidak terlalu kuat bagi kereta bersaiz besar. Grand Livina boleh dimiliki dengan harga RM90,000 pada 2014 dan anggaran penyusutan nilainya hanya 40% membuatkan kini berharga dalam lingkungan RM54,000.
4. Honda City
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 55% – 58%
Model ini mempunyai rekabentuk yang sangat sporty dan futuristik. Menjadi pilihan utama golongan muda masa kini. Honda City terkenal selaku kereta jimat minyak dan berbaloi untuk dimiliki. Pada tahun 2013, Honda City boleh dimiliki dengan harga anggaran RM85,000 dan kini, kereta yang sama boleh dibeli dengan harga anggaran RM47,600.
5. Proton Persona
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 45%-47%
Proton Persona berada di tangga ke-5 senarai ini. Antara salah satu model keluaran Malaysia yang sangat banyak di atas jalan raya. Proton Persona tarikan ramai kerana bentuk badannya padat dan ruangan dalam yang agak luas. Boleh didapati dengan harga RM45,000 pada tahun 2012 dan harga Proton Persona terpakai kini boleh didapati dengan harga RM21,000.