1. Kotak Dibbuk
Menurut cerita rakyat Yahudi, kotak dibbuk ialah kotak kabinet yang dihantui roh jahat yang berupaya menghantui dan merasuk manusia. Salah sebuah kotak dibbuk menjadi terkenal setelah ia disenaraikan untuk jualan di eBay dengan cerita latar belakang yang menakutkan.
Cerita itu bermula pada bulan September 2001, apabila seorang pembeli barangan antik yang juga mempunyai kemahiran dalam kemasan barangan kayu menghadiri satu jualan estet di Portland, Oregon. Jualan itu dilaksanakan untuk mendapatkan pembeli bagi kesemua barangan milik seorang wanita berusia 103 tahun yang telah meninggal dunia, dan cucu kepada wanita itu memberitahu kepada pembida bahawa salah satu barangan yang hendak dijual ialah sebuah kotak lama.
Wanita tua itu seorang berbangsa Yahudi dan merupakan satu-satunya ahli keluarga yang terselamat dalam kem tahanan Nazi semasa Perang Dunia Kedua. Apabila wanita itu berpindah ke Amerika Syarikat, hanya kabinet itu (yang digunakan untuk menyimpan botol wain) serta dua barangan lain dibawa bersamanya.
Cucu wanita tua itu memberitahu yang neneknya sentiasa menyorokkan kotak itu dan ia dikatakan langsung tidak boleh dibuka kerana mengandungi roh jahat yang dipanggil dibbuk. Neneknya mewasiatkan agar kotak itu ditanam bersamanya setelah dia mati, tetapi amalan seperti itu dianggap bertentangan dengan tradisi Yahudi, jadi keluarganya tidak berbuat demikian. Apabila pembida mencadangkan agar cucu wanita itu menyimpan saja kotak tersebut kerana nilai sentimental, wanita itu menolak dengan keras dengan berkata, “kita telah membuat persetujuan! Kamu mesti ambil kotak itu!”
Pembida itu mengambil kotak yang telah dibeli dan ia diletakkan dalam bengkel miliknya di bahagian bawah tanah. Setelah itu, beberapa kejadian aneh dan menakutkan mula berlaku. Dia diberitahu oleh pembantu bengkelnya yang sewaktu lampu dipadamkan serta pintu dan pagar keselamatan sudah dikunci, bunyi-bunyi yang menakutkan mula kedengaran di bilik bawah tanah. Apabila disiasat, pembantu bengkel mendapati bilik tersebut mempunyai bau hancing kencing kucing yang sangat kuat dan semua lampu telah dipecahkan.
Pembida itu kemudiannya memberikan kabinet itu kepada ibunya sebagai hadiah, dan selepas itu wanita itu telah diserang strok. Di hospital, wanita itu mengeja “H-A-T-E G-I-F-T” (benci hadiah) dengan air mata berlinangan. Pembida itu kemudiannya cuba memberikan kotak itu sebagai hadiah kepada beberapa orang lain, tetapi ia sentiasa dipulangkan semula selepas beberapa hari, biasanya dengan alasan mereka tidak suka kotak tersebut atau mereka merasakan kotak itu mengeluarkan aura jahat. Pembida mula mengalami mimpi-mimpi buruk pada waktu malam, dan kemudian dia mendapati kesemua ahli keluarganya yang pernah berada dekat dengan kotak tersebut mengalami mimpi yang sama. Dia juga sering terlihat kelibat hitam lalu-lalang di sekelilingnya.
Setelah akhirnya mengakui sesuatu yang paranormal sedang berlaku, dia telah cuba mendapatkan lebih maklumat berkenaan kotak tersebut di Internet dan tertidur di hadapan komputer. Apabila dia terjaga, dia terasa nafas seseorang di lehernya, dan apabila dia menoleh dia melihat satu bayang hitam lari darinya. Dia kemudiannya menyenaraikan kotak tersebut untuk jualan di eBay, serta memberitahu apa yang telah berlaku kepadanya sejak kotak itu berada dalam simpanan.
Jason Haxton, seorang kurator sebuah muzium perubatan di Missouri, telah membeli kotak tersebut melalui bidaan eBay. Dia kemudiannya menulis sebuah buku yang menceritakan tentang keanehan kotak tersebut dan pada tahun 2012, sebuah filem berkenaan buku tersebut yang berjudul The Possession telah diterbitkan.
Lagi empat keping gambar dengan membaca entri ini sepenuhnya.
2. Patung Annabelle
Pada tahun 1970, seorang gadis telah menerima sebuah patung dengan stail Raggedy-Ann sebagai hadiah dari ibunya yang telah membeli patung tersebut dari satu jualan kebajikan. Gadis itu pada masa itu sedang belajar di sebuah kolej.
Gadis itu menyukai patung itu dan ia diletakkan dalam apartment tempat dia tinggal, tetapi selepas itu dia dan teman serumahnya menyedari kejadian-kejadian aneh mula berlaku di apartment tersebut membabitkan patung itu. Ia selalu ditemui dalam bilik lain walaupun ia tidak disentuh oleh sesiapa pun sebelum itu. Mereka sering menemui cebisan kertas kain lama yang diconteng dengan tulisan kanak-kanak. Pernah juga mereka menemui patung itu dalam keadaan berdiri walaupun kaki patung itu dibuat dari kain guni saja.
Gadis-gadis yang ketakutan telah menghubungi seorang perantara psikik, yang memberitahu patung itu telah dirasuk oleh roh seorang kanak-kanak perempuan yang telah meninggal dunia di bangunan apartment mereka. “Annabelle” memberitahu dia sukakan gadis-gadis kolej itu dan mahu tinggal bersama mereka. Bagaimanapun, setelah ia diberi keizinan untuk tinggal bersama, jumlah aktiviti paranormal di apartment mereka telah meningkat, antaranya salah seorang kawan lelaki mereka telah diserang oleh patung Annabelle pada suatu malam, meninggalkan kesan cakaran yang sangat teruk di bahagian dada dan perutnya.
Buntu dengan kejadian tersebut, gadis-gadis kolej itu telah menemui dua orang penyiasat paranormal yang dikenali ramai iaitu Ed dan Lorraine Warren. Pasangan yang telah berkahwin itu mendapati yang patung Annabelle bukan dihantui roh kanak-kanak perempuan, sebaliknya satu mahkluk yang telah menipu tentang identitinya bagi merapati gadis-gadis kolej tersebut, mungkin dengan niat mahu merasuk salah seorang dari mereka. Gadis-gadis itu kemudiannya memberikan patung Annabelle kepada pasangan Warren, yang kemudiannya menyimpan Annabelle dalam satu kotak kaca di museum mistik milik mereka di Connecticut. Papan tanda pada kotak itu ditulis, “Amaran: Dengan positif jangan buka kotak ini.”
3. Lukisan “The Hands Resist Him”
Pada tahun 2000. seorang penjual eBay yang tidak mahu dikenali telah menyenaraikan satu lukisan yang dihasilkan oleh artis Bill Stoneham berjudul “The Hands Resist Him”. Lukisan ini kini terkenal sebagai salah satu hasil seni yang berhantu.
Lukisan ini menampilkan seorang budak lelaki dengan satu patung yang menakutkan sedang berdiri di depan sebuah pintu kaca. Lukisan ini dihasilkan pada tahun 1972 dan telah dibeli oleh seorang pelakon Hollywood iaitu John Marley. Ia kemudiannya dibeli olah satu pasangan dari California sebelum dijual di eBay yang disertakan amaran-amaran tentang kejadian-kejadian aneh membabitkan lukisan tersebut.
Menurut pasangan yang pernah membelinya, objek di dalam lukisan sering bergerak sendiri pada waktu malam, dan kadangkala hilang terus dari kanvasnya. Budak lelaki dalam lukisan dikatakan pernah muncul dalam bilik di mana lukisan itu ditempatkan, dan individu yang pernah melihat lukisan itu telah berasa sakit atau lemah. Kanak-kanak yang melihat lukisan itu telah berlari keluar dari bilik sambil menjerit. Orang dewasa sering merasakan tangan-tangan ghaib mencuit badan mereka dan mereka sering merasakan deruan angin panas seolah-oleh mereka telah membuka pintu ketuhar apabila melihat lukisan tersebut.
Malahan mereka yang telah melihat lukisan tersebut secara online mandakwa merasa kurang selesa dan takut. Seorang lagi mendakwa pencetaknya tidak berjaya mencetak gambar lukisan tersebut walaupun pencetak miliknya itu baru dibeli dan ia tidak ada masalah mencetak gambar-gambar lain.
Lukisan itu telah dibeli oleh satu galeri seni di Grand Rapids, Michigan. Apabila wakil galeri itu menemubual pelukis asalnya, dia terkejut bahawa hasil seninya menjadi siasatan aktiviti paranormal. Bagaimanapun dia juga memberitahu dua orang yang mula-mula melihat dan memberikan rebiu tentang lukisan tersebut telah meninggal dunia dalam masa setahun selepas melihat lukisan “The Hands Resist Him”.
4. Cermin Myrtles
Sebuah rumah di Perladangan Myrtles dikatakan sebagai salah sebuah rumah yang paling berhantu di Amerika Syarikat (AS) dan di dunia, disebabkan sebuah cermin yang diletakkan di dalamnya pada tahun 1980. Tetamu-tetamu perladangan itu mendakwa telah melihat kelibat-kelibat bergerak dalam cermin, dan kesan tapak tangan kanak-kanak pada permukaannya. Perladangan itu wujud sejak tahun 1796 dan dibina atas tapak pengebumian kaum peribumi AS. Khabar angin mendakwa ia juga tempat berlakunya sepuluh pembunuhan dan kejadian paranormal berlaku hampir setiap hari di situ.
Lagenda juga mengatakan cermin itu mengandungi roh seorang wanita bernama Sarah Woodruff dan anak-anaknya. Keluarga Woodruff diberitakan telah diracun sehingga mati. Adat mengatakan cermin sepatutnya ditutup dengan kain setiap kali berlaku kematian untuk mengelakkan roh terperangkap didalamnya, namun khabarnya cermin itu tidak ditutup pada masa kematian keluarga itu dan sehingga kini ramai percaya roh-roh ahli keluarga Woodruff terperangkap dan aktif dalam cermin tersebut.
5. Gaun perkahwinan Anna Baker
Pada tahun 1849, seorang gadis dari keluarga berada, Anna Baker jatuh cinta dengan seorang lelaki kelas bawahan yang bekerja sebagai pelentur besi. Bapa Anna, Ellis, enggan membenarkan Anna mengahwini lelaki tersebut, menghantar lelaki itu jauh dari kampung halaman mereka yang terletak di Altoona, Pennsylvania, dan menyebabkan Anna menjadi seorang andartu.
Anna sangat marah dengan bapanya. Dia tidak pernah jatuh cinta atau berkahwin selepas itu, menjadi seorang yang pemarah sehingga kematiannya pada tahun 1914.
Sebelum bapanya ‘membuang’ lelaki yang dicintainya, Anna telah memilih sehelai gaun yang ingin dikenakan di hari perkahwinannya dengan lelaki pilihannya. Perkahwinan itu tidak berlaku, jadi seorang wanita tempatan yang berada, Elizabeth Dysart telah memakai gaun itu di hari perkahwinannya sambil bercakap besar. Beberapa tahun kemudian, gaun perkahwinan itu telah diserahkan pada satu persatuan sejarah, dan mansion keluarga Baker telah ditukar menjadi sebuah muzium. Gaun perkahwinan tersebut diletakkan dalam satu kotak kaca di bilik yang sebelumnya milik Anna Baker.
Setelah kematian Anna, pelawat mendakwa terlihat gaun itu bergerak sendiri, terutamanya pada malam bulan mengambang. Gaun itu dilihat bergerak, seolah-olah seorang pengantin halimunan sedang mengayakannya di hadapan cermin, menyukai dirinya dalam gaun tersebut. Penyiasat paranormal tidak mendapat penjelasan yang meyakinkan tentang kejadian gaun itu bergerak sendiri, walaupun ramai membuat spekulasi yang ianya digayakan oleh roh bekas bakal pengantin yang kecewa–Anna Baker–setelah mendapat semula gaun perkahwinan impiannya, akhirnya.