PTPTN. Secara jujur, apabila mendengar perkataan ini, ramai yang akan meluahkan rasa tidak puas hati, bengang dan kecewa. Macam-macam cara yang dilakukan untuk tidak membayar balik PTPTN. Ada yang terus tak buat bayaran langsung, ada yang bayar macam Chipsmore dan lagi teruk, ada yang lupa dirinya pernah buat pinjaman PTPTN. Hehehe.
Realitinya apabila kita dah buat pinjaman PTPTN, nak tak nak kenalah bayar. Seumpama kita hutang duit dengan member, takkanlah nak buat muka tebal taknak bayar seumur hidup kan? Jadi di sini marilah Abang Nara kongsikan beberapa tips untuk korang selesaikan hutang PTPTN ini.
1. Buat potongan gaji
Habis belajar di universiti, pergi interview dan akhirnya yeah, dapat kerja. Seronok tak terhingga dapat merasa duit sendiri buat pertama kali. Namun jangan lupa untuk membuat potongan gaji secara berjadual untuk membayar PTPTN anda. Borang permohonan boleh diperolehi menerusi portal www.ptptn.gov.my. Isikan borang tersebut beserta nama dan alamat majikan dan selepas itu hantarkannya ke PTPTN. Senang je kan?
2. Bayar ikut perbankan Internet
Kalau dulu mungkin ada yang bagi alasan malas nak pergi pejabat PTPTN untuk buat bayaran balik. Namun kini alasan tersebut tidak boleh digunakan lagi. Sebabnya kini perbankan Internet di Malaysia seperti Maybank, RHB, CIMB, Public Bank, Ambank, Bank Rakyat, Pos Online, BSN dan Bank Islam kesemuanya sudah menyediakan kemudahan untuk membayar balik pinjaman PTPTN secara online. Klik, klik, klik je dah boleh setel. Tiada lagi alasan!!!
3. Bayar gunakan akaun II KWSP
Ini lagi satu inisiatif yang amat bagus daripada PTPTN dan KWSP. Dengan mengikut syarat-syarat tertentu, kita boleh keluarkan duit di dalam akaun II KWSP dan gunakannya untuk membayar balik PTPTN. Teknik ini tak adalah membuatkan diri kita terbeban sangat berbanding teknik potongan gaji. Syarat-syaratnya kena baca di www.ptptn.gov.my.
4. Bayar di kaunter PTPTN tanpa gunakan wang tunai
Kebiasaannya pada hujung minggu, ada kaunter-kaunter bayaran balik PTPTN yang dibuka di kompleks membeli belah. Atau mungkin juga anda berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur dan terjumpa kaunter PTPTN (kat KL Sentral ada). Niat di hati nak bayar tapi wang tunai pulak tak bawak. Jangan risau. Gunakan sahaja kad ATM atau kad debit anda untuk buat pembayaran. Kaunter PTPTN menyediakan EDC Terminal yang memudahkan proses ini. Selamat pun selamat sebab tak perlu bawak cash yang banyak. Terbaik!!!
5. Bayar menerusi portal PTPTN
Ini adalah langkah yang paling senang. Buka sahaja laman web www.ptptn.gov.my. Buat pendaftaran yang sepatutnya dan anda boleh mulakan pembayaran menerusi portal tersebut. Siap boleh check balance pembayaran dan maklumat yang lain. Senang sangat-sangat.
Seperti yang kita ketahui, sekiranya peminjam PTPTN tidak membuat pembayaran balik, mereka akan disenarai hitam di dalam CCRIS. Kalau dah disenarai hitam, memang sukar untuk buat pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan sebagainya. Nak fly pergi oversea pun kena halang.
Penyelesaiannya hanya satu iaitu menjadi pembayar yang baik atau dalam bahasa omputihnya, a good paymaster. Bukannya kena bayar beribu-ribu setiap kali, cuma bayaran itu perlulah berjadual dan sentiasa konsisten. Dengan cara ini, anda pasti tidak akan disenarai hitam serta hutang PTPTN anda akan langsai sepenuhnya dalam masa yang ditetapkan.
Apa apa pun, PTPTN sentiasa membuka kaunternya dan mempunyai ratusan pegawai yang sedia membantu para peminjamnya. Sentiasalah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. PTPTN pun rugi kalau anda buat keputusan untuk tak nak bayar. Jadi diorang pun pasti akan cuba bantu anda sebaik mungkin. Apa pun silalah layari www.ptptn.gov.my untuk info lanjut.