Suasana hiba menyelubungi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, selepas tragedi memilukan yang meragut 15 nyawa penuntutnya.
Difahamkan, lima mahasiswa dari Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI antara mangsa yang terlibat.
Dua daripada mereka telah disahkan meninggal dunia, seorang dalam keadaan kritikal, seorang lagi cedera parah manakala seorang lagi mengalami patah tangan.
Menerusi satu video tular di Facebook, ia memaparkan seorang pensyarah menangis ketika sesi kuliah pagi.
Profesor Madya Dr Zulfiqar Shah A Hadi turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan anak didiknya.
Kata beliau, permulaan kelas selepas kejadian itu diselubungi suasana sayu.
Sungguh kami berduka. Lima mahasiswi, anak didik kami di FSK UPSI terlibat dalam kemalangan ini.
Dua daripadanya meninggal dunia, seorang cedera kritikal (pembedahan segera di kepala), seorang cedera parah (dalam rawatan) dan seorang patah tangan. Moga Allah mudahkan segalanya.
Sebelum ini, sebuah bas yang membawa pelajar UPSI telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Seramai 15 penuntut UPSI terkorban, menjadikan insiden itu antara kemalangan maut yang meragut nyawa tertinggi di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.