Pengacara terkenal yang juga anggota 4U2C, Datuk AC Mizal, meluahkan rasa hairan dan kecewa terhadap segelintir pihak yang mengecam penganjuran konsert ‘WE 4U2C Live In Concert’ yang bakal menyatukan semula kumpulan legenda tersebut.
AC menyatakan bahawa komen negatif dari netizen bukan hanya memberi kesan kepada semangat mereka, tetapi juga emosi anggota kumpulan lain, hingga ada yang tertekan dan jatuh sakit.
Saya sedih apabila ramai yang mengecam penganjuran konsert kami. Saya sedih sebab komen negatif itu akan dibaca oleh keluarga dan anak-anak ahli 4U2C. Ada ahli kami yang sampai depression, ada yang sakit.
Apabila dilemparkan komen tidak sepatutnya, ada anak-anak kami bertanya. Saya rasa cukup lah. Kami tidak minta pun orang di luar sana untuk suka kami, tetapi cukup menghargai dan nikmati satu pengalaman yang akan dicipta.
Meskipun mendapat kecaman, AC dan kumpulannya tidak mengharapkan pujian melambung-lambung, sebaliknya hanya ingin agar semua yang hadir menikmati momen indah dalam konsert yang mungkin menjadi penampilan terakhir 4U2C di pentas berskala besar.
Bukan lama pun, hanya 2 jam 30 minit sahaja. Selepas 2 jam 30 minit itu berakhir, maka habis lah, tiada lagi konsert berskala besar 4U2C. Rata-rata umur ahli kami pun dah 50 tahun ke atas, hanya minta kalian raikan satu lagi sejarah dalam hidup kami. Kami akan berusaha pamerkan persembahan yang terbaik.
Konsert ‘WE 4U2C Live In Concert’ dijadualkan berlangsung pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya, dan diharapkan dapat memberi kenangan manis kepada peminat serta memberikan ruang untuk menghargai legasi 4U2C dalam industri muzik Malaysia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.