Selama dua hari keberadaan Ustaz Ebit Lew di Semporna, Sabah dalam menjalankan misi bantuan Covid-19, beliau mendedahkan seramai 490 penduduk Bajau Laut memeluk Islam.
Ustaz Ebit Lew melahirkan rasa syukur kerana dapat membimbing mereka mengucap dua kalimah syahadah dan turut berkongsi menerusi akaun sosial media Facebook miliknya pada Selasa lalu.
“Menangis bahagia sangat di Semporna dua hari di sini, 490 orang masuk Islam mengucap syahadah dari empat buah kampung. Syukur dapat bimbing mereka syahadah”.
“Niat kerana dengar orang memerlukan bekalan makanan terus ke kawasan Bajau Laut yang tiada negara”.
Tambahnya, beliau turut tersentuh apabila melihat keadaan kehidupan dimana mereka menghabiskan hidup mereka tinggal di lautan dengan membina dan menjadikan perahu sebagai sebuah ‘tempat tinggal’ bagi mereka.
“Melihat mereka hidup atas air, ada di atas bot. Hidup atas air sepenuhnya dan sekali-sekala ke darat. Mereka tiada agama. Sampai mereka bertanya tentang Tuhan”.
Mereka tidak tahu tentang Tuhan dan dengan rela hati ingin memeluk Islam. Ustaz Ebit Lew turut sayu mendengar mereka mengucap syahadah.
Beliau menjelaskan misi bantuan covid-19 juga memperuntukkan bantuan pembinaan tiga buah sekolah untuk anak-anak di sana.
“Kami cadang bina tiga sekolah. Tadi dah dapat enam guru untuk mengajar kemahiran asas 3M (menulis, membaca, mengira) dan Asas Islam, akhlak dan kasih sayang. Tadi dah letak kayu. Sebulan akan siap semuanya. Saya akan bayar gaji guru dan akan cuba bantu mereka secara berterusan. Cikgu akan tinggal di sana”.
Ustaz Ebit Lew turut mengucapkan terima kasih kepada Agensi Penguasaan Maritim (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas bantuan yang dihulurkan sepanjang bantuan itu dijalankan.
“Ini sedikit usaha kecil kami. Semoga menjadi asbab kebaikan”.
Isnin lalu, seramai 157 penduduk di Pulau Tatagan, Semporna mengucap dua kalimah syahadah sekaligus menyaksikan satu kampung memeluk Islam pada petang Ahad. Mereka memeluk Islam dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan.
Menurut sejarah, mereka merupakan sebuah etnik sabah yang berasal dari Filipina dan Indonesia di mana sepanjang hayat dihabiskan di lautan. Kehidupan mereka yang nomad dan hidup di laut yang terasing dari masyarakat lain menyebabkan asal-usul mereka tidak jelas. Pada yang sama, kehidupan seharian bergantung kepada hasil memancing dan berdagang sesama mereka.