Kerajaan tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk membiayai mana-mana individu yang mahu menetap di hotel bertaraf empat atau lima bintang sekiranya perlu menjalankan tempoh kuarantin wajib.
Kuarantin selama 14 hari dikenakan terhadap individu yang baru sahaja pulang ke tanah air dan menetap di hotel yang telah disenaraikan oleh kerajaan sebagai pusat kuarantin. Ini untuk menjawab sebarang dakwaan yang timbul berkenaan adanya pusat kuarantin yang membezakan taraf kelas rakyat Malaysia.
45 hotel yang berada di bawah senarai kerajaan dengan segala kos penginapan dan makan akan ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM150 sehari. Sekiranya individu yang dikuarantin memerlukan khidmat dobi atau selainnya, kos tersebut ditanggung sendiri oleh individu tersebut.
Individu yang perlu dikuarantinkan juga tidak dibenarkan membuat sebarang permohonan untuk menukar hotel selain daripada yang sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin. Sekiranya mahu menetap di hotel yang bertaraf empat atau lima bintang di dalam senarai pusat kuarantin boleh juga untuk berbuat sedemikan.
Namun kos penginapan dan makanan ditanggung sepenuhnya oleh individu itu sendiri.
Individu yang sedang dalam tempoh kuarantin tidak akan dibenarkan untuk keluar dari hotel sehingga tempoh kuarantin tamat. Ahli keluarga dan tetamu juga tidak akan dibenarkan untuk melawat. Selain itu, petugas khas akan ditempatkan di kesemua 45 pusat kuarantin sebagai pengawasan ketat.
Baru-baru ini terdapat netizen yang membezakan pusat kuarantin yang seperti hotel mewah dengan hotel biasa. Perkara ini tidak sepatutnya diperdebatkan kerana pusat kuarantin yang disediakan hanya untuk penginapan selama 14 hari. Jika mahukan tempat penginapan yang lebih selesa, individu tersebut haruslah mengeluarkan belanja sendiri.
Artikel berkaitan: Gadis Dikecam Komen Pusat Kuarantin 14 Hari ‘Nampak Macam Penjara’